Sunday, March 23, 2008

JANGAN ABAIKAN PENDIDIKAN AGAMA



TAWAU 23 Mac - Masyarakat Islam dinasihatkan supaya tidak mengabaikan kepentingan memberi pendidikan agama kepada anak-anak mereka, meskipun senario semasa hari ini menuntut agar setiap generasi muda memiliki pengetahuan di dalam bidang akademik.

Ahli Dewan Undangan Negeri N.60 Sebatik Haji Abdul Muis Haji Picho berkata, mereka perlu bijak menyeimbangkan pemberian kedua-dua cabang ilmu pengetahuan berkenaan, jika ingin melihat anak-anak mereka cemerlang di dunia dan akhirat.

Ajaran suci Islam yang diperturunkan Allah S.W.T melalui Rasulullah S.A.W ujarnya, haruslah juga diterapkan ke dalam diri anak-anak seawal mereka usia muda, agar ia dapat dijadikan sebagai panduan dan budaya di dalam kehidupan seharian.

“Kita harus terapkan ilmu agama kepada anak-anak kita sejak mereka kecil lagi. Apabila mereka memiliki pengetahuan agama, sudah tentu kejayaan mereka sebagai seorang individu Islam akan lebih bermakna,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Malam Kebudayaan Islam Bersempena Sambutan Maulidur Rasul, anjuran Tadika Al-Ikhwan dan Syarikat Global Ikhwan di Dewan Masyarakat Tawau di sini.

Menyentuh sambutan itu pula, Muis menyeru umat Islam supaya sentiasa mengenang jasa pengorbanan Nabi Muhammad S.A.W, dalam perjuangannya menegakkan agama Allah.

Tambah beliau, Nabi Junjungan yang kaya dengan sifat-sifat mahmudah itu juga, haruslah menjadi idola dan dijadikan contoh serta ikutan oleh masyarakat Islam.

Dalam pada itu, beliau turut meminta umat Islam agar sentiasa bersatu-padu serta sama-sama berusaha memartabatkan lagi imej Islam di mata masyarakat lain.

Dalam hal berkaitan, beliau memuji usaha Tadika Al-Ikhwan serta Syarikat Global Ikhwan di atas kejayaan melaksanakan program tersebut, yang disifatkannya mampu menyemarakkan lagi rasa kecintaan terhadap Rasulullah S.A.W dan ajaran Islam.

Pelbagai program kebudayaan Islam dianjurkan pada majlis tersebut seperti persembahan nasyid, bacaan puisi, pentomen serta persembahan dari kanak-kanak tadika terbabit.

Lebih 1,000 umat Islam menghadiri majlis berkenaan.

Terdahulu sebelum ke majlis itu, Muis turut berkesempatan merasmikan Majlis Sambutan Maulidur Rasul di Masjid Al-Mukarramah Kg. Tanjung Batu Laut, sebagai mewakili Wakil Rakyat kawasan terbabit, Datuk Hajah Hamisah Haji Samad.

Saturday, March 8, 2008

HAJI ABDUL MUIS HAJI PICHO MULA BERGELAR 'YB'




TAWAU 8 Mac - Haji Abdul Muis Haji Picho hari ini mula bergelar 'YB' selepas memenangi kerusi Pilihan Raya Dun N.60 Sebatik dengan jumlah 4711 undi, sekaligus menewaskan lawannya, calon PKR Arsad Jamal dan calon BEBAS, Raden Kakung.

Berikutan kemenangannya itu, Muis memanjatkan kesyukurannya kepada Allah S.W.T sekaligus berterima kasih kepada seluruh pucuk pimpinan Barisan Nasional, Umno, para pengundi dan masyarakat, di atas kepercayaan yang diberikan ke atasnya.

Sebagai orang baru di kawasan itu ujarnya, beliau berjanji untuk melakukan yang terbaik, demi rakyat di kawasan Dun berkenaan.

Bagaimanapun begitu, beliau turut melahirkan harapannya agar seluruh masyarakat memberikan kerjasama padu kepadanya, sepanjang beliau bergelar wakil rakyat di kawasan itu.