Sunday, December 28, 2008

Salam Hijrah


Pixel Code Graphics

Saya (The Reporter) dan seluruh warga Sebatik ingin mengucapkan selamat menyambut Awal Muharram 1430 Hijrah kepada Umat Islam di seluruh dunia.

Saturday, December 20, 2008

JALAN BERGOSONG BESAR KINI GIAT DIBINA


TAWAU: Kira-kira 1,200 penduduk di kawasan Kg. Bergosong Besar, Bergosong Kecil dan sekitarnya di Pulau Sebatik di sini, dijangka bakal mendapat manfaat besar apabila Jalan Bergosong Besar dan Jeti Pemunggahan Hasil Tani bernilai kira-kira RM 1.5 juta, siap dibina menjelang tahun hadapan.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sebatik, Haji Abdul Muis Haji Picho memberitahu, ketika ini pihak kontraktor sedang giat melaksanakan kerja-kerja membina Jalan Bergosong Besar terbabit sepanjang 1.2 kilometer, yang merupakan penghubung di antara kawasan kampung dan jeti yang bakal dibina.

Jelas beliau, pembinaan kedua-dua prasarana berkenaan adalah sebagai kemudahan dari kerajaan untuk penduduk mengeluarkan hasil tani mereka, berikutan selama ini mereka terpaksa bergantung kepada jeti lama yang kedudukannya tidak sesuai kerana terletak di kawasan sungai yang berliku.

“Jeti lama sebelum ini terletak di kawasan sungai yang berliku dan apabila air surut, perahu atau bot tidak dapat melaluinya melainkan terpaksa menunggu air pasang semula yang memakan masa lebih kurang empat jam,” katanya.

Selain untuk kemudahan memunggah hasil tani, jeti tersebut jelasnya boleh dimanfaatkan untuk tujuan-tujuan lain termasuk pada saat-saat kecemasan, seperti ketika ingin menghantar penduduk yang sakit pada waktu malam ke Hospital Besar Tawau yang terletak di bandar Tawau.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual semasa beliau mengadakan tinjauan melihat kerja-kerja pembinaan jalan tersebut dilaksanakan, di Kg. Bergosong Pulau Sebatik kelmarin.

Dalam hal berkaitan, Muis memberitahu bahawa peruntukan membina jalan dan jeti telah diberikan oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib ketika beliau melakukan lawatan kerja ke Pulau Sebatik, Jun lepas.

“Kita amat berterima kasih di atas keprihatinan YB Tan Sri Muhammad kerana memberikan peruntukan tersebut. Secara tidak langsung, peruntukan terbabit memberi satu lagi kemudahan untuk penduduk luar bandar di Pulau Sebatik ini dan kita benar-benar menghargainya,” kata beliau lagi.

Dalam hal berkaitan, Muis turut menyeru seluruh masyarakat di kawasan DUN Sebatik agar terus memberikan sokongan padu kepada Kerajaan Barisan Nasional (BN), yang selama ini tidak pernah putus-putus membawa pembangunan ke seluruh pelusuk negara.

“Dengan adanya sokongan padu daripada rakyat, pelbagai perancangan dan program yang diatur kerajaan tentunya akan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan sempurna,” katanya lagi.
...
Kunjungi juga Tawau Kini dan Tawau News

Saturday, December 6, 2008

SEBUAH PUSAT KHIDMAT MASYARAKAT AKAN DIBINA DI SG. TONGKANG



TAWAU: Sebuah Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) bakal dibina di Kg. Sungai Tongkang, Pulau Sebatik bagi memudahkan penduduk pulau berurusan dengan wakil rakyat mereka, tanpa perlu turun ke bandar Tawau.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sebatik, Haji Abdul Muis Haji Picho berkata, PKM itu akan mula dibina dalam tempoh terdekat ini dan diharapkan apabila ianya telah beroperasi kelak, masyarakat akan memanfaatkan ia sebaik-baiknya terutamanya untuk mengemukakan sebarang masalah yang dihadapi.

Dalam hal sama, beliau turut memberitahu bahawa beliau akan turut menempatkan kakitangan di PKM terbabit dan beliau atau Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR)-nya, Zakaria Sulaiman akan turut bermalam di PKM berkenaan, demi kemudahan penduduk.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual selepas mengadakan lawatan kerja ke Kg. Sungai Tongkang, Pulau Sebatik, kelmarin.

Dalam pada itu, Muis turut melahirkan penghargaannya kepada Ketua Umno Bahagian Kalabakan merangkap Ahli Parlimen P.191 Kalabakan, Datuk Seri Panglima Haji Abdul Ghapur Haji Salleh dan Kerajaan Barisan Nasional, di atas keprihatinan membantu beliau membangunkan kawasan Dun Sebatik.

Sebagai wakil rakyat baru di kawasan itu ujarnya, beliau gembira melihat beberapa perancangan telahpun mula dilaksanakan di Dun tersebut, yang pastinya berobjektifkan matlamat membela nasib masyarakat luar bandar.

“Saya juga berterima kasih kepada semua agensi-agensi kerajaan, swasta dan semua pihak yang memberi kerjasama padu kepada pihak kami. Saya berharap kerjasama yang lebih erat dapat dipupuk agar lebih banyak pembangunan dapat dibawa kepada masyarakat,” kata beliau.

Menyentuh hal berlainan, Muis memberitahu bahawa dua gelanggang serbaguna yang boleh dijadikan gelanggang bola tampar, sepak takraw dan futsal kini sedang giat dibina di Pulau Sebatik iaitu di Kg. Sungai Tongkang dan Kg. Sungai Tamang.

Dengan terbinanya gelanggang itu kelak, beliau berharap kemudahan tersebut dapat menjadi lokasi untuk generasi muda di kawasan pulau beriadah, sekaligus platform untuk mereka menjauhi diri dari terjebak ke dalam kancah-kancah sosial atau jenayah.

Pada majlis tersebut, Muis turut menyampaikan sumbangan seekor lembu kepada penduduk untuk dijadikan korban bersempena ketibaan Hari Raya Aidil Adha tahun ini.

Menurut beliau, sebanyak 10 ekor lembu diagih-agihkan pada perayaan korban tahun ini termasuklah kepada pasukan-pasukan keselamatan di daerah Tawau.

Pada sesi lawatan kerja itu, Muis dan Ghapur turut berkesempatan meninjau projek pembinaan gelanggang futsal serta tapak pembinaan PKM di pulau terbabit.

Hadir sama pada sesi lawatan kerja itu ialah Setiausaha Umno Bahagian Kalabakan, Mohd. Ayaz Khan, PKR Sebatik Zakaria Sulaiman, PKR Merotai Ismail Ait dan rombongan dari Umno Bahagian tersebut.
...
Kunjungi juga Tawau Kini dan Tawau News