Saturday, December 6, 2008

SEBUAH PUSAT KHIDMAT MASYARAKAT AKAN DIBINA DI SG. TONGKANG



TAWAU: Sebuah Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) bakal dibina di Kg. Sungai Tongkang, Pulau Sebatik bagi memudahkan penduduk pulau berurusan dengan wakil rakyat mereka, tanpa perlu turun ke bandar Tawau.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sebatik, Haji Abdul Muis Haji Picho berkata, PKM itu akan mula dibina dalam tempoh terdekat ini dan diharapkan apabila ianya telah beroperasi kelak, masyarakat akan memanfaatkan ia sebaik-baiknya terutamanya untuk mengemukakan sebarang masalah yang dihadapi.

Dalam hal sama, beliau turut memberitahu bahawa beliau akan turut menempatkan kakitangan di PKM terbabit dan beliau atau Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR)-nya, Zakaria Sulaiman akan turut bermalam di PKM berkenaan, demi kemudahan penduduk.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual selepas mengadakan lawatan kerja ke Kg. Sungai Tongkang, Pulau Sebatik, kelmarin.

Dalam pada itu, Muis turut melahirkan penghargaannya kepada Ketua Umno Bahagian Kalabakan merangkap Ahli Parlimen P.191 Kalabakan, Datuk Seri Panglima Haji Abdul Ghapur Haji Salleh dan Kerajaan Barisan Nasional, di atas keprihatinan membantu beliau membangunkan kawasan Dun Sebatik.

Sebagai wakil rakyat baru di kawasan itu ujarnya, beliau gembira melihat beberapa perancangan telahpun mula dilaksanakan di Dun tersebut, yang pastinya berobjektifkan matlamat membela nasib masyarakat luar bandar.

“Saya juga berterima kasih kepada semua agensi-agensi kerajaan, swasta dan semua pihak yang memberi kerjasama padu kepada pihak kami. Saya berharap kerjasama yang lebih erat dapat dipupuk agar lebih banyak pembangunan dapat dibawa kepada masyarakat,” kata beliau.

Menyentuh hal berlainan, Muis memberitahu bahawa dua gelanggang serbaguna yang boleh dijadikan gelanggang bola tampar, sepak takraw dan futsal kini sedang giat dibina di Pulau Sebatik iaitu di Kg. Sungai Tongkang dan Kg. Sungai Tamang.

Dengan terbinanya gelanggang itu kelak, beliau berharap kemudahan tersebut dapat menjadi lokasi untuk generasi muda di kawasan pulau beriadah, sekaligus platform untuk mereka menjauhi diri dari terjebak ke dalam kancah-kancah sosial atau jenayah.

Pada majlis tersebut, Muis turut menyampaikan sumbangan seekor lembu kepada penduduk untuk dijadikan korban bersempena ketibaan Hari Raya Aidil Adha tahun ini.

Menurut beliau, sebanyak 10 ekor lembu diagih-agihkan pada perayaan korban tahun ini termasuklah kepada pasukan-pasukan keselamatan di daerah Tawau.

Pada sesi lawatan kerja itu, Muis dan Ghapur turut berkesempatan meninjau projek pembinaan gelanggang futsal serta tapak pembinaan PKM di pulau terbabit.

Hadir sama pada sesi lawatan kerja itu ialah Setiausaha Umno Bahagian Kalabakan, Mohd. Ayaz Khan, PKR Sebatik Zakaria Sulaiman, PKR Merotai Ismail Ait dan rombongan dari Umno Bahagian tersebut.
...
Kunjungi juga Tawau Kini dan Tawau News

2 comments:

Anonymous said...

Penduduk-penduduk Pulau Sebatik kini mendepani perubahan dan pembangunan. Syabas kepada wakil-wakil Rakyat, para pemimpin masyarakat, para penduduk Pulau Sebatik dan tidak dilupakan kepada The Reporter yang tidak pernah jemu memaparkan berita tentang Pulau Sebatik untuk tatapan ramai :-)

Unknown said...

Assalam alaikum

Pulau Sebatik boleh dijadikan pusat perdagangan persisir pantai. Terutamanya komoditi pertanian dan hasil laut.

Namun sebelum melangkah ke arah itu, Pulau Sebatik perlu memiliki prasarana dan infrastruktur.

Moga pembangunan yang diusahakan tidak bersifat semusim. Jika demikian punahlah harapan rakyat di Pulau Sebatik.

P/S Sudah lama tidak singgah di Pulau Sebatik.

Wassalam