Monday, November 24, 2008

DUA GELANGGANG SERBAGUNA UNTUK PENDUDUK PULAU SEBATIK



TAWAU 24 Nov - Dua buah gelanggang serbaguna bernilai RM 290,000 kini sedang giat dibina di Kg. Sungai Tongkang dan Kg. Sungai Tamang, Pulau Sebatik sebagai kemudahan bersukan untuk lebih 500 belia di kawasan pulau tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sebatik, Haji Abdul Muis Haji Picho berkata, kedua-dua gelanggang yang dibina menggunakan peruntukan Kementerian Belia dan Sukan Persekutuan itu dijangka akan siap dan boleh digunakan pada bulan hadapan atau selewat-lewatnya awal Januari 2009.

“Gelanggang ini boleh menjadi lokasi untuk sukan futsal, bola tampar dan sepak takraw. Saya berharap kemudahan yang disediakan kerajaan ini tidak dipersia-siakan masyarakat, sebaliknya dimanfaatkan serta dijaga dengan sebaik-baiknya,” kata beliau.

Dengan terbinanya gelanggang itu juga jelasnya, beliau percaya golongan belia di kawasan pulau akan dapat menggunakannya sebagai lokasi beriadah, yang secara tidak langsung dapat menjauhkan diri mereka dari terlibat ke dalam kancah sosial yang negatif.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual ketika melawat projek pembinaan gelanggang tersebut, Ahad lepas.

Dalam hal berkaitan, Muis memberitahu yang pihaknya juga kini sedang merancang untuk mewujudkan sebuah Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) di kawasan pulau tersebut, sebagai kemudahan untuk masyarakat berurusan dengan pihaknya.

“Apabila PKM ini beroprasi, masyarakat pulau yang tidak berpeluang atau berkesempatan untuk berurusan di Pejabat Unit Pemimpin Kemajuan Rakyat (UPKR) di Tawau, boleh mengemukakan permasalahan mereka melalui PKM ini.”

“Ini kerana kita akan menempatkan kakitangan di PKM dan Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) Sebatik iaitu Saudara Zakaria akan turut bermalam dalam sekali seminggu di kawasan pulau, bagi memudahkan masyarakat untuk bertemu dan berurusan dengan pihak kita,” katanya lagi.

Berkenaan projek perintis pemberian bibit sawit kepada 10 penduduk pulau yang mempunyai tanah, beliau memberitahu yang projek itu akan dilaksanakan tidak lama lagi dan ia dijangka bakal disempurnakan oleh Ahli Parlimen P.191 Kalabakan, Datuk Seri Panglima Haji Abdul Ghapur Salleh.

“Ini adalah projek perintis dan jika kita lihat projek ini berjaya dilaksanakan, kita akan membekalkan bibit kepada lebih ramai penduduk,” kata Muis lagi.
...
Kunjungi juga Tawau Kini dan Tawau News

1 comment:

Anonymous said...

Tidak sia-sia penduduk Sebatik mengundi wakil-wakil rakyat berkenaan, kan? :-)

Wakil-wakil rakyat dari kawasan-kawasan lain di seluruh Sabah yang belum membawa perubahan dan merealisasikan janji kepada para pengundi, bolehlah mencontohi wakil rakyat Sebatik ni.