Tuesday, November 18, 2008

WUJUDKAN PUSAT KAWALAN MARITIM DI PULAU SEBATIK TAWAU

TAWAU 18 Nov - Kerajaan diminta supaya mewujudkan sebuah Pusat Kawalan Maritim di Pulau Sebatik, Tawau bagi mengawal dari berlakunya perncerobohan bot-bot asing mahupun bot-bot tunda ke kawasan persisiran pantai pulau tersebut, kata Ahli Dewan Undangan Negeri Sebatik, Haji Abdul Muis Haji Picho.

Beliau yang berkata demikian ketika menyampaikan usulnya pada Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama DUN Sabah Ke-13 kelmarin berkata, pusat kawalan itu haruslah menempatkan anggota dari agensi-agensi penguatkuasa berkaitan, bagi melaksanakan kerja-kerja pengawalan.

Cadangan itu diutarakannya kata beliau, berikutan beliau mendapat maklumat yang bot-bot tunda sering menceroboh dan memasuki kawasan pesisir pantai pulau itu, yang secara tidak langsung menjejaskan mata pencarian golongan nelayan pesisir pantai.

Dalam masa yang sama jelasnya, dengan adanya Pusat Kawalan Maritim tersebut, pihak berkuasa juga akan mudah untuk bertindak drastik, jika berlaku sebarang insiden tidak diingini, di kawasan pulau yang bersempadan dengan negara jiran Indonesia itu.

Dalam perkara berlainan, Muis dalam ucapannya turut berharap yang kerajaan khasnya Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan dapat mewujudkan Program Perumahan Rakyat (PPR) di kawasan darat Dun Sebatik, bagi menyelesaikan masalah rumah setinggan di kawasan itu.

Menurut beliau, adalah tidak keterlaluan jika dikatakan yang hampir keseluruhan penduduk di kawasan darat Dun itu ketika ini adalah penduduk yang menetap di perkampungan-perkampungan setinggan seperti di kawasan perkampungan Lapangan Terbang Lama, kawasan Seri Menanti dan sebagainya.

“Jika kita melihat dari aspek menyeluruh di daerah Tawau Tuan Speaker, kerajaan telahpun membina beberapa blok Projek Perumahan Rakyat atau PPR di kawasan Dun Apas, Dun Balung dan Dun Merotai.”

“Namun sehingga kini, kami di Dun Sebatik masih belum diperuntukkan dengan kemudahan itu dan mungkin ramai di kalangan rakyat, terpaksa bersaing untuk mendapatkan unit-unit rumah PPR di projek-projek perumahan yang sedia ada,” katanya.

Justeru itu kata Muis, kerajaan dirayu supaya mempertimbangkan cadangan tersebut agar masalah rumah setinggan di kawasan Dun Sebatik dapat selesaikan, apatah lagi apabila para penduduk berkenaan sentiasa terdedah dengan pelbagai ancaman seperti kebakaran.

Perkara seterusnya yang diutarakan beliau pula ialah tentang cadangannya agar kerajaan membina sebuah Sekolah Rendah Berpusat di kawasan Pulau Sebatik, sebagai satu kemudahan untuk murid-murid dari beberapa buah sekolah rendah di pulau tersebut.

Hari ini kata beliau, murid-murid di kawasan pulau sering berhadapan dengan masalah untuk pergi ke sekolah mereka, berikutan jarak yang jauh serta keadaan jalan yang becak dan berlumpur ketika waktu hujan.

Jika cadangan itu direalisasikan kerajaan katanya, ia sekurang-kurangnya membolehkan murid-murid terlibat untuk mendapatkan pendidikan di dalam suasana yang lebih selesa berbanding sebelumnya.

Turut disentuh beliau kelmarin ialah usul meminta Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mewujudkan pusat pendaratan ikan di Pulau Sebatik, selain tindakan proaktif diambil agensi berkaitan berhubung isu harga barang yang belum diturunkan peniaga, meskipun harga minyak telahpun turun.

TAMAT.

No comments: