Monday, November 17, 2008

UCAPAN YB ABD. MUIS PICHO PADA PERSIDANGAN DUN NOVEMBER 2008

Terima Kasih Tuan Speaker, Assalamualaikum w.b.k.t dan salam sejahtera,
Terlebih dahulu, saya seperti ahli-ahli dewan yang lain ingin mengucapkan setinggi-tinggi syabas dan tahniah kepada YAB Ketua Menteri di atas pembentangan Bajet 2009.

Sesungguhnya, saya amat berkeyakinan tinggi yang bajet kali ini akan mendapat sambutan daripada rakyat dan saya percaya, bajet yang dibentangkan tersebut telahpun mengambil kira kepentingan rakyat dan kepentingan kerajaan dari setiap sudut..

Bagaimanapun demikian YB Tuan Speaker, saya tidak berniat untuk mengulas dengan panjang lebar mengenai pembentangan bajet berkenaan, tetapi ingin mengemukakan beberapa perkara yan berkaitan dengan keperluan-keperluan masyarakat di kawasan yang saya wakili iaitu kawasan Dewan Undangan Negeri N.60 Sebatik.

Perkara pertama yang ingin saya nyatakan di sini ialah berkaitan dengan keperluan perumahan untuk masyarakat di kawasan Dun Sebatik, khasnya yang tinggal di kawasan darat atau tanah besar Tawau.

YB Tuan Speaker,
Untuk makluman, saya rasa tidak keterlaluan jika saya katakan hampir keseluruhan penduduk Dun Sebatik yang tinggal di kawasan tanah besar Tawau, kini menetap di atas tanah-tanah setinggan seperti di kawasan perkampungan Lapangan Terbang Lama, Kg. Sri Menanti dan sebagainya.

Situasi ini berlaku berpunca dari ketidak mampuan para penduduk terlibat untuk mendapatkan rumah yang lebih baik dan selesa di kawasan lain.

Sebahagian besar daripada mereka juga telahpun menetap di kampung-kampung setinggan berkenaan sejak sekian lama dan saya percaya, setiap hari mereka diburu rasa bimbang berikutan kediaman mereka sentiasa terdedah dengan ancaman kebakaran dan sebagainya.

Malah, saya juga yakin tidak sedikit di antara mereka risau bilakah rumah mereka akan dirobohkan dan tapak mereka diambil semula oleh pihak kerajaan atau pihak-pihak lain yang berhak.

Jika kita melihat dari aspek menyeluruh di daerah Tawau Tuan Speaker, kerajaan telahpun membina beberapa blok Projek Perumahan Rakyat atau PPR di kawasan Dun Apas, Dun Balung dan Dun Merotai.

Namun sehingga kini, kami di Dun Sebatik masih belum diperuntukkan dengan kemudahan itu dan mungkin ramai di kalangan rakyat, terpaksa bersaing untuk mendapatkan unit-unit rumah PPR di projek-projek perumahan yang sedia ada.

Justeru yang demikian, saya di sini dengan rasa rendah hati ingin merayu kepada pihak berkaitan khasnya Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah agar dapat memperuntukkan kemudahan yang sama di kawasan Dun Sebatik ini, dengan segera.

Dengan adanya kemudahan tersebut, ia sedikit-sebanyak sudah pasti dapat membantu menyelesaikan masalah perumahan yang dihadapi rakyat di kawasan Dun ini.

Saya berharap usul saya ini mendapat perhatian dan pertimbangan yang sewajarnya, demi kebaikan rakyat khasnya yang kurang berkemampuan.

Tuan Speaker,
Perkara kedua yang ingin saya bawakan di sini pula ialah cadangan agar sebuah Sekolah Rendah Berpusat dapat dibina oleh kerajaan di kawasan Pulau Sebatik, demi kemudahan anak-anak penduduk di pulau tersebut.

Ketika ini di kawasan Pulau Sebatik terdapat lima atau enam buah sekolah rendah tetapi apa yang menjadi masalah ialah apabila murid-murid terpaksa berjalan jauh dan meredah belukar serta becak dan lumpur ketika hujan, untuk sampai ke sekolah mereka.

Oleh yang demikian, jika Sekolah Rendah Berpusat dapat diwujudkan, saya yakin ia akan memberi lebih banyak kebaikan kepada anak-anak penduduk pulau dan aspek pembelajaran mereka juga tentunya dapat lebih terjaga.

Perkara ketiga pula Tuan Speaker ialah saya berharap pihak Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dapat membina satu pusat pendaratan ikan di Pulau Sebatik, khasnya untuk bot-bot yang membawa masuk ikan ke Tawau dari negara jiran Indonesia.

Ketika ini kebanyakan ikan-ikan besar yang dibawa masuk ke Tawau adalah dari negara jiran kerana ikan-ikan dari kawasan perairan Tawau biasanya kecil-kecil sahaja.

Oleh yang demikian, jika sebuah pusat pendaratan dapat diwujudkan di Pulau Sebatik, saya yakin ia dapat membantu membangunkan lagi kawasan Pulau Sebatik.

Manakala cadangan yang keempat pula ialah saya memohon kepada pihak kerajaan agar dapat mewujudkan satu pusat kawalan Maritim di kawasan Pulau Sebatik untuk mengawal pencerobohan bot-bot tunda ke kawasan persisiran pantai.

Perkara ini pada kami di Dun Sebatik begitu penting memandangkan pencerobohan ketika ini sering berlaku, sekaligus menjejaskan mata pencarian golongan nelayan tradisi.

Dan apa yang dikhuatiri, pihak berkuasa tentunya akan sukar untuk segera bertindak jika berlaku sesuatu di kawasan pulau, akibat dari pencerobohan-pencerobohan berkenaan.

Tuan Speaker,
Saya sebenarnya tidak berniat untuk berucap dengan lebih panjang pada sesi persidangan ini, melainkan hanya untuk membawa perkara-perkara yang saya fikir penting untuk saya ketengahkan, seperti yang diharap-harapkan oleh penduduk di Dun Sebatik.

Namun demikian, sebelum saya mengakhiri ucapan usul ini, saya berharap isu terakhir yang saya ketengahkan ini akan dapat menarik perhatian dan satu tindakan bagi menyelesaikannya akan dapat segera diambil.

Begini Tuan Speaker, pada setiap kali berlakunya kenaikan harga minyak, kita jarang mendengar para peniaga tidak menaikkan harga barang-barang keperluan. Kalau adapun, saya rasa peniaga itu benar-benar berhati mulia.

Tetapi yang menjadi persoalan di sini pula ialah kenapakah harga barang-barang tidak pula turun apabila kerajaan memutuskan untuk menurunkan harga minyak?

Saya harap kerajaan khasnya kementerian yang berkaitan dapat segera melakukan sesuatu kerana rakyat termasuk di kawasan Dun saya, banyak mempersoalkan perkara ini.

Tanpa adanya tindakan proaktif dari pihak-pihak berkaitan, saya khuatir suatu hari nanti rakyat akan hilang kepercayaan dan akhirnya yang untung ialah peniaga-peniaga tidak bertanggungjawab yang cuba mengambil kesempatan di atas kelalaian kita.

Tuan Speaker,
Saya rasa cukuplah setakat ini usul saya. Akhir kata, saya menyokong usul…

Sekian, Wabillahi Taufik Wal Hidayah, Assalamualaikum W.B.K.T…

No comments: