Friday, October 31, 2008

MUIS PUJI 'PROGRAM CARI' KPWKM


TAWAU 31 Okt - Ahli Dewan Undangan Negeri Sebatik Haji Abdul Muis Haji Picho memuji pelaksanaan ‘Program Cari’ yang diperkenalkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, bagi mengenal-pasti golongan kurang bernasib baik yang memerlukan bantuan di negara ini.


Usaha itu secara tidak langsung katanya dapat memudahkan proses pendaftaran golongan kurang bernasib baik seperti Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas dan sebagainya, khasnya yang tinggal di kawasan luar bandar sebelum bantuan yang sewajarnya dapat dihulurkan oleh kerajaan kepada mereka.


Dengan terlaksananya program yang telah dilancarkan pada 17 Julai 2008 itu juga kata beliau, ia dalam masa sama membuktikan yang kerajaan tidak pernah mengabai atau meminggirkan mana-mana golongan kurang bernasib baik di negara ini.


“Saya berharap program ini mendapat sokongan masyarakat kerana kita mahu melihat golongan yang kurang bernasib baik ini mendapat bantuan yang sewajarnya serta berpeluang merasai kehidupan sama seperti yang dirasai oleh orang lain,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada lawatan kerjanya bersama pegawai dan kakitangan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) Sabah, di Kg- Serudung Laut yang terletak kira-kira empat hingga lima jam perjalanan menggunakan bot dari bandar Tawau, di sini.


Pada sesi lawatan berkenaan, para pegawai dan kakitangan JPKA turut melaksanakan ‘Program Cari’ dan berjaya mengenal-pasti kira-kira 30 golongan kurang bernasib baik di kampung tersebut.


Dalam pada itu, Muis ketika berucap turut menyeru masyarakat Dun Sebatik agar hadir beramai-ramai apabila terdapatnya penganjuran program yang melibatkan penyertaan agensi-agensi kerajaan di kawasan mereka.


Dengan berbuat demikian ujarnya, mereka akan berpeluang untuk mengetengahkan sebarang permasalahan yang mereka hadapi, sekaligus dapat mengetahui sebarang maklumat berhubung bantuan atau kemudahan yang disediakan oleh kerajaan.


Selain itu, beliau juga turut menyatakan yang beliau akan berusaha membawa pegawai dari Jabatan Pendidikan untuk mengenal-pasti masalah keciciran pendidikan di kalangan anak-anak di Kg. Serudung Laut, akibat dari ketiadaan sekolah kerajaan di kawasan tersebut.


Ketika ini jelasnya, di kawasan itu hanya terdapat sekolah yang dikendalikan oleh badan bukan kerajaan.


Mengenai ketiadaan bekalan elektrik yang memaksa penduduk untuk bergantung dengan set generator, beliau memberitahu yang perkara itu akan diketengahkannya kepada pihak kerajaan dan akan mencadangkan tenaga solar digunakan bagi menyelesaikan masalah keperluan asas tersebut.

No comments: