Wednesday, October 22, 2008

MINYAK TURUN, KHABAR GEMBIRA UNTUK RAKYAT

Muis dan Zakaria (kiri) bergambar kenangan dengan para pemenang pertandingan bola tampar.

TAWAU 22 Okt - Ahli Dewan Undangan Negeri Sebatik, menyifatkan keputusan kerajaan menurunkan harga minyak petrol dan diesel baru-baru ini, sebagai satu khabar yang menggembirakan khasnya untuk masyarakat di kawasan Pulau Sebatik.

Hal ini kerana katanya, penurunan harga minyak tersebut telah meringankan sedikit bebanan yang ditanggung oleh penduduk di pulau itu, yang ketika ini terpaksa bergantung dengan bahan bakar berkenaan sebagai sumber untuk mendapatkan bekalan elektrik menggunakan set generator.

Bagaimanapun, Muis dalam kenyataannya turut bersetuju dengan pandangan Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Seri Panglima Haji Abdul Ghapur Haji Salleh, bahawa masih banyak lagi harga barangan yang dinaikkan akibat kenaikan harga minyak, tidak diturunkan oleh peniaga.

Justeru, beliau berharap pihak berkuasa terlibat segera mengambil tindakan proaktif berhubung perkara itu dan berusaha memastikan matlamat kerajaan mengurangkan bebanan masyarakat secara menyeluruh melalui penurunan harga minyak, dapat dicapai.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penutupan Pertandingan Bola Sepak dan Bola Tampar anjuran JKKK Kg. Sungai Limau, Pulau Sebatik di sini. 

Dalam hal berlainan, Muis ketika berucap menyeru generasi muda di kawasan DUN Sebatik agar bijak merebut pelbagai bentuk kemudahan dan bantuan yang disediakan kerajaan, termasuklah yang disalurkan melalui Kementerian Belia dan Sukan.

Hari ini jelasnya terdapat pelbagai bantuan disediakan untuk mereka memajukan diri, seperti bantuan-bantuan untuk menceburi bidang perniagaan.

“Saya berharap para belia bijak mengambil peluang memajukan diri. Apabila diri anda maju, sudah pasti anda juga dapat membantu keluarga anda dari aspek peningkatan taraf ekonomi."

Menyentuh program berkenaan pula, Muis melahirkan penghargaannya di atas kesungguhan JKKK Kg. Sungai Limau dalam melaksanakan program terbabit.

Dengan terlaksananya aktiviti seumpama itu jelasnya, golongan belia di kawasan pulau terbabit sekurang-kurangnya dapat melibatkan diri di dalam aktiviti-aktiviti kesukanan yang sihat, sekaligus mampu menghindari diri daripada terlibat ke dalam kancah-kancah negatif.

Sebanyak 10 buah kampung terlibat dalam pertandingan berkenaan, termasuk para peserta dari dua buah kampung yang terletak di Wilayah Indonesia.

Hadir sama pada program itu ialah Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) Sebatik, Zakaria Sulaiman.

No comments: