Monday, November 24, 2008

HARGA MINYAK TURUN LEGAKAN RAKYAT

TAWAU: Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Sebatik Haji Abdul Muis Haji Picho di sini kelmarin melahirkan rasa gembiranya berhubung dua keputusan terbaru kerajaan baru-baru ini, yang berkaitan dengan penurunan harga minyak dan pengeluaran semula kad pengenalan hijau.

Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Sebatik Haji Abdul Muis Haji Picho berkata, kedua-dua keputusan itu disifatkan mampu menangani beberapa isu yang dihadapi rakyat, termasuklah yang berada di kawasan luar bandar.

Berhubung penurunan harga minyak jelasnya, keputusan terbaru itu sudah pasti melegakan banyak pihak, termasuklah penduduk di kawasan Pulau Sebatik yang selama ini banyak bergantung dengan kemudahan bahan api berkenaan.

Sebagai contoh kata beliau, penduduk pulau menggunakan minyak diesel untuk menghidupkan set generator bagi mendapatkan bekalan elektrik, selain menggunakannya sebagai nadi pengangkutan bot yang menghubungkan mereka dengan bandar Tawau.

“Kita benar-benar gembira dengan harga terbaru minyak ini. Kerajaan telah membuktikan keprihatinannya dan khabar yang menyatakan harga minyak akan diturunkan lagi, sudah pasti amat dinanti-nantikan oleh masyarakat,” kata beliau.

Untuk rekod, harga terbaru minyak petrol RON97 ialah RM 2.00 seliter dan RM 1.90 seliter masing-masing bagi minyak petrol RON92 dan minyak diesel.
Penurunan kali ini merupakan penurunan kali kelima yang diputuskan kerajaan, sejak Ogos lepas.

Menyentuh mengenai pengeluaran kad pengenalan hijau pula, Muis menyifatkan yang ianya adalah selaras dengan apa yang disuarakan oleh Ketua Umno Bahagian Kalabakan, Datuk Seri Panglima Haji Abdul Ghapur Salleh, yang meminta agar isu anak-anak tidak berstatus di negeri ini diselesaikan.

Dengan keputusan berkenaan juga kata beliau, jumlah sebenar anak-anak tidak berstatus termasuklah di daerah ini sudah pasti akan dapat direkodkan dan sebarang pergerakan mereka juga akan mudah untuk dipantau oleh kerajaan, berbanding sebelumnya.

“Kita menyambut baik keputusan kerajaan ini dan sekurang-kurangnya, ia menjadi alternatif penyelesaian kepada satu isu yang telah sekian lama diperkatakan,” katanya lagi.

No comments: