TAWAU 28 Sept - Penduduk di Pulau Sebatik yang masih belum menikmati bekalan elektrik dijangka bakal menikmati kemudahan asas tersebut tidak lama lagi apabila kerja-kerja penyambungan bekalan elektrik dari bandar Tawau ke pulau tersebut, akan dimulakan pada tahun hadapan.
Ahli Dewan Undangan Negeri Sebatik, Tuan Haji Abdul Muis Haji Picho berkata, projek penyambungan bekalan elektrik berkenaan akan menelan kos sebanyak RM100 juta dan apabila ia siap terlaksana, masalah bekalan elektrik di pulau terbabit akan tinggal menjadi sejarah.
Selain itu kata Muis, pihaknya turut merancang beberapa program lain untuk membangunkan taraf hidup penduduk di pulau berkenaan, khasnya yang berkaitan dengan aspek peningkatan ekonomi diri dan keluarga.
Untuk permulaan, pihaknya dengan kerjasama Pejabat Parlimen Kalabakan akan membekalkan bibit-bibit kelapa sawit kepada sepuluh buah keluarga yang tinggal di Kg. Sungai Tongkang dan Kg. Bergosong, Sebatik, sebaik sahaja perayaan Hari Raya Aidil Fitri berakhir.
“Kita akan mulakan projek ini dengan 10 keluarga dahulu untuk melihat sejauh mana projek ini berjaya. Selepas itu kita akan tambah lagi jumlah penerima bibit kelapa sawit, khasnya kepada mereka yang mempunyai tanah.”
“Kita berharap bantuan yang diberikan ini akan dapat membuka ruang untuk masyarakat pulau bergiat dalam aktviti pertanian sawit sekaligus menambah pendapatan dan ekonomi mereka,” katanya.
Muis menasihatkan masyarakat Pulau Sebatik yang mempunyai tanah supaya tidak sesekali menjual tanah mereka untuk mendapat keuntungan cepat, sebaliknya mengusahakannya atau mendapatkan bantuan serta kemudahan yang berkaitan.
“Selain kelapa sawit, kita juga akan berusaha membangunkan pulau ini dengan industri getah dan padi,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika ditemubual di sini.
Dalam hal berlainan, beliau memberitahu bahawa lima buah masjid di kawasan Pulau Sebatik baru-baru ini telah dibekalkan dengan set generator, untuk kegunaan umat Islam beribadah pada bulan Ramadan dan Hari Raya.
“Kita merancang untuk membekalkan sekurang-kurangnya lima lagi generator set kepada lima lagi masjid yang masih belum mendapat bekalan elektrik. Semoga dengan adanya bantuan ini, masyarakat Islam dapat melakukan ibadah mereka dengan selesa,” kata beliau.
Menyentuh ketibaan Hari Raya Aidil Fitri pula, Muis mempelawa masyarakat terutamanya dari kawasan Dun Sebatik, supaya hadir beramai-ramai pada majlis rumah terbukanya yang akan diadakan di kediamannya di Kg. Pasir Putih pada 11 Oktober 2008, bermula jam 7.30 malam.
“Pada kesempatan ini saya turut ingin mengucapkan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh masyarakat Islam yang meraikannya dan harapan saya, semoga perayaan ini akan terus menyatu-padukan kita semua,” katanya lagi.