Sunday, September 14, 2008

KERAJAAN TIDAK ABAI GOLONGAN KURANG BERNASIB BAIK


Muis (bersongkok tengah) bergambar bersama para penerima bantuan di majlis itu.

TAWAU 14 Sept - Kerajaan tidak pernah mengabaikan kepentingan golongan kurang bernasib baik di negara ini, malah sentiasa menyediakan pelbagai bentuk bantuan dan kemudahan untuk membantu mereka, kata Ahli Dewan Undangan Negeri Sebatik, Haji Abdul Muis Haji Picho.

Kata beliau, bersempena dengan kehadiran bulan Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidil Fitri yang bakal menjelma, kerajaan juga telah menyediakan bantuan kepada golongan terbabit, termasuklah mereka yang terdiri dari warga emas, anak-anak yatim, golongan kurang upaya dan sebagainya.

Justeru itu katanya, masyarakat haruslah menolak sebarang persepsi negatif yang dilemparkan oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab, yang akhir-akhir ini kelihatan sering cuba menggambarkan seolah-olah kerajaan tidak prihatin terhadap kebajikan masyarakat di negara ini.

“Terdapat pelbagai bantuan disediakan kerajaan dari semasa ke semasa untuk mereka yang layak. Kita harus sedar, hanya kerajaan kita yang banyak menyediakan bantuan untuk rakyatnya dan kita harus bersyukur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual selepas menyampaikan sumbangan kepada 40 penerima di Masjid Kg. Sentosa Hill Top di sini.

Dalam pada itu, Muis ketika ditemui turut melahirkan harapannya agar sikap saling bantu-membantu dijadikan budaya oleh masyarakat di dalam kehidupan seharian mereka.
Ujarnya, dengan menjadikan sikap tersebut amalan, perpaduan serta kesejahteraan yang terjalin sdi kalangan masyarakat berbilang kaum sejak sekian lama tentunya akan dapat terus diperkukuhkan.

‘Kita perlu mengamalkan sikap bantu-membantu serta prihatin terhadap golongan kurang bernasib baik. Dengan berbuat demikian, kita juga secara tidak langsung memberi peluang kepada golongan kurang bernasib baik ini untuk hidup sama seperti orang lain,” katanya lagi.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) Sebatik, Zakaria Sulaiman.

No comments: