Friday, August 22, 2008

TOLAK DAKYAH PERPECAHAN - MUIS


TAWAU 22 Ogos - Ahli Dewan Undangan Negeri Sebatik Haji Abdul Muis Picho meminta masyarakat khasnya yang berada di kawasannya agar menolak sebarang dakyah yang membawa kepada perpecahan, sebaliknya terus bersatu-padu serta menyokong penuh kepimpinan Kerajaan Barisan Nasional (BN) hari ini

Ini kerana katanya, jika masyarakat mudah terpengaruh dengan dakyah-dakyah yang sering disebarkan terutamanya oleh pihak pembangkang, dikhuatiri perkara itu akan mengganggu-gugat kestabilan dan kesejahteraan negara

Tidak setakat itu ujarnya, situasi itu juga mungkin akan membantutkan segala perancangan kerajaan untuk membantu mereka termasuk yang berada di kawasan luar bandar, seperti yang telahpun dilakukan sejak negara mencapai kemerdekaan lebih 50 tahun lalu.

“Masyarakat harus sedar tentang perkara ini. Jangan sesekali mempersia-siakan segala nikmat yang kita miliki selama ini hanya disebabkan kita terlalu mudah mempercayai sesuatu yang belum terbukti kebenarannya,” katanya.

Bagaimanapun begitu, beliau melahirkan keyakinannya yang penduduk di Dun Sebatik bukanlah masyarakat yang mudah diperkotak-katikkan, sebaliknya rakyat yang bijak dan tahu menghargai segala pengorbanan kerajaan serta para pemimpin terdahulu terhadap mereka.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Pemimpin Bersama Rakyat, di SK Panglima Habibullah Kg. Sungai Pukul, Pulau Sebatik Tawau.

Dalam hal berlainan, Muis ketika berucap turut menggesa golongan ibubapa supaya tidak sesekali mengabaikan pemberian pendidikan kepada anak-anak, meskipun mereka dihimpit kemiskinan.

Hari ini kata beliau, terdapat pelbagai bentuk bantuan disediakan oleh kerajaan dan semua itu haruslah dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya.

“Ingat! Hanya pendidikan yang mampu mengubah masa hadapan keluarga kita. Justeru, berilah anak-anak pendidikan yang sempurna dan seimbang agar mereka mampu mengharungi dunia tanpa sempadan yang semakin mencabar, sekaligus berbakti kepada agama, bangsa dan negara,” katanya.

Menyentuh program terbabit, Muis memberitahu yang beliau berharap program tersebut dapat mengeratkan lagi ukhuwah di kalangan penduduk Kg. Sungai Pukul sesama sendiri, serta di kalangan penduduk kampung berkenaan dengan para pemimpin yang datang dari bandar Tawau.

Pada majlis itu, Muis juga menyampaikan hadiah kepada kanak-kanak di pulau itu yang berjaya memenangi beberapa pertandingan yang diadakan.

Sebaik selesai menghadiri program terbabit, beliau bersama para pemimpin akar umbi di kawasannya berkesempatan melawat rumah-rumah penduduk miskin di kampong tersebut.
Hadir sama pada program itu ialah Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) Sebatik, Zakaria Sulaiman dan Pegawai Pembangunan Masyarakat (CDO) Sebatik, Azmie Wahid.

No comments: