Thursday, August 21, 2008

JADIKAN KOKO TANAMAN UTAMA


Muis mendengar penerangan dari Sapiyah mengenai buah koko.

TAWAU 21 Ogos - Usahawan tani di Bahagian Tawau disaran supaya menjadikan koko sebagai tanaman utama mereka memandangkan harga pasaran tanaman komoditi tersebut yang kini mencecah RM 8,000 setan metrik, selain permintaan dunia terhadap biji dan produk koko yang semakin meningkat.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sebatik Haji Abdul Muis Haji Picho berkata, berdasarkan kedua-dua faktor berkenaan juga, beliau yakin yang tanaman koko masih berdaya saing serta berupaya membantu membangunkan lagi ekonomi negara.

Justeru itu, beliau berharap usahawan tani yang telah menanam koko tidak menukar tanaman mereka kepada tanaman lain seperti kelapa sawit, sebaliknya mempertingkatkan lagi keluasan tanaman mereka selain terus menimba ilmu berhubung kemahiran terkini teknologi penamanan koko.

Dengan berbuat demikian ujarnya, beliau yakin daerah Tawau akan kembali gemilang dengan gelaran ‘Bandar Koko’, seperti di awal 1980-an hingga akhir 1990-an lalu.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kursus Lanjutan Teknologi Koko, Program Konsolidasi di Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Koko Tawau, di sini.

Dalam hal berkaitan, Muis memberitahu bahawa Lembaga Koko Malaysia (LKM) telah berjaya melahirkan 347 pekebun kecil koko di kawasan Pulau Sebatik, melalui Program Pembangunan Pekebun-Pekebun Kecil Koko (PPPKK), sejak program itu diperkenalkan pada 1997.

Ketika ini ujarnya, keluasan kebun koko di pulau tersebut adalah seluas 390 hektar manakala keluasan keseluruhan kebun koko di daerah Lahad Datu, Kinabatangan, Kunak, Semporna dan Tawau ialah seluas 1,200 hektar.


Menyampaikan Anugerah Ketua Kelompok Jaya Peringkat Wilayah Pantai Timur Sabah kepada Said Jaafar dari Kg. Sungai Tongkang, Pulau Sebatik.

“Kita amat berterima kasih kepada kerajaan serta LKM kerana menjalankan program PPPKK pada Rancangan Malaysia Ke-Tujuh (RMK-7) dan RMK-8 yang lalu, yang hari ini telah banyak membantu mempertingkatkan ekonomi masyarakat khasnya para pekebun kecil di negeri ini,” katanya.

Menyentuh program itu, beliau berharap para peserta yang mengikuti kursus tersebut agar memanfaatkan segala ilmu yang diperolehi, khasnya untuk memajukan lagi industri tanaman koko mereka.

Seramai 205 peserta telah menyertai kursus sehari itu dan pada majlis tersebut, Muis turut berpeluang menyampaikan Anugerah Petani Jaya Peringkat Zon Wilayah Pantai Timur Sabah 2008 kepada Baru Rila dari Semporna dan Anugerah Ketua Kelompok dan Kelompok Jaya Peringkat Wilayah Pantai Timur Sabah 2008 kepada Said Jaafar dari Kg. Sungai Tongkang Sebatik.

Hadir sama pada program itu ialah Pengurus Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Koko Tawau, Shari Fudin Sha’ari dan Pengarah Bahagian Pemindahan Teknologi Koko LKM, Hajah Sapiyah Subali.

No comments: