Sunday, July 13, 2008

ANGKAT IDENTITI BANGSA - MUIS




TAWAU 13 Julai - Masyarakat berbilang kaum dinasihatkan supaya tidak leka dengan arus kemodenan negara hingga akhirnya terlupa mengangkat identiti bangsa dan kaum mereka sendiri.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sebatik Haji Abdul Muis Haji Picho berkata, jika mereka tidak berusaha memartabat atau mempertahankan keunikan adat resam serta keindahan seni budaya yang dimiliki, semua itu tentunya akan luput ditelan zaman suatu hari nanti.

Menurut beliau, rakyat di negeri ini juga harus berbangga kerana meskipun mereka terdiri dari golongan yang berlainan latar belakang, namun itu tidak menghalang mereka untuk hidup harmoni serta bersatu-padu.

Sikap saling bertoleransi itu jelasnya, adalah formula terbaik yang akhirnya menjadikan Malaysia negara contoh di mata dunia serta terus maju dan membangun.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Merakyatkan Seni Budaya, di Kg. Bergosong Pulau Sebatik, Sabtu lepas.


Dalam pada itu, Muis juga melahirkan kebimbangannya berhubung kemasukan budaya-budaya negatif dari luar seperti gejala hidup bebas, Black Metal dan sebagainya.

Gejala-gejala berkenaan tegasnya, harus dijauhi oleh generasi muda yang sepatutnya menjadi aset masa hadapan negara.

Jika tidak jelas beliau, pengaruh-pengaruh tersebut tentunya akan merosakkan pemikiran golongan terbabit, sekaligus merugikan negara.

Pelbagai acara menarik telah berlangsung pada program itu dan antaranya ialah Pameran Seni dan Budaya Suku Kaum, Pertandingan Sukan Tradisi, Pertandingan Mewarna dan Melukis serta Pencarian Bakat Persembahan.

Turut diadakan pada sebelah malamnya pula ialah Persembahan Tarian dan Kebudayaan Masyarakat di Dun Sebatik serta acara penyampaian hadiah.

Lebih 1,000 masyarakat membanjiri program terbabit. Hadir sama ialah Pengarah Kebudayaan dan Kesenian Negara, Negeri Sabah, Sallehudin Md. Salleh.

No comments: