Monday, July 7, 2008

JENAYAH ROGOL BAWAH UMUR WAJAR DIPANDANG SERIUS

TAWAU 7 Julai - Peningkatan kes rogol termasuk rogol bawah umur yang berjumlah 101 kes dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, wajar diambil perhatian serius oleh semua pihak termasuk oleh golongan ibubapa, guru dan masyarakat setempat.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sebatik, Haji Abdul Muis Haji Picho berkata, pendedahan mengenai punca berlakunya jenayah itu iaitu pergaulan bebas dan pelakuan gejala sosial remaja pula adalah sesuatu yang amat mengejutkan serta perlu segera dibendunng.

Justeru yang demikian, beliau menggesa seluruh masyarakat supaya dapat bekerjasama memastikan kedua-dua punca terbabit dapat dihalang dari tidak terus menular ke dalam diri generasi muda hari ini.

Jika tidak katanya, gejala negatif berkenaan dikhuatiri akan terus merosakkan diri serta pemikiran generasi muda, yang seharusnya dibentuk menjadi aset dan modal insan untuk membangunkan negara di masa hadapan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kadar peningkatan kes rogol bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini, yang didedahkan oleh Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Noor Rashid Ibrahim, baru-baru ini.

69 orang daripada jumlah itu, dinyatakan melibatkan mangsa yang berusia 16 tahun ke bawah.

Dalam hal sama, Muis juga menyeru golongan ibubapa agar tidak hanya mementingkan aspek pendidikan akademik anak-anak, tetapi juga aspek kerohanian, akhlak dan budaya mereka.

“Pendidikan agama merupakan antara ilmu yang perlu kita berikan pada anak-anak kita. Dengan pengetahuan agama yang mencukupi, ia akan menjadi benteng bagi menghalang anak-anak kita terjebak ke dalam kancah sosial yang tidak sihat,” katanya.

Selain itu jelasnya, pihak-pihak lain seperti golongan guru, masyarakat setempat, badan-badan bukan kerajaan dan lain-lain juga jelasnya, mestilah turut sama memainkan peranan samada untuk mendidik atau mewujudkan suasana yang sihat di negara ini.

Jika semua pihak bekerjasama jelasnya, beliau yakin bukan sahaja kes jenayah rogol yang dapat dibasmi, malah kes-kes jenayah lain yang berlaku di negara ini.

No comments: