Tuesday, July 29, 2008

MUIS DENGAN LUAHAN PENDUDUK SIMANDALAN




TAWAU 29 Julai - "Kami org miskin. Cuma tanah inilah sumber kehidupan kami sejak lebih 20 tahun lalu. Tapi kalau kami tiada geran, bagaimanalah nasib kami akan datang?”, demikian luahan lapan pekebun kecil di kawasan Sungai Simandalan, Tawau di sini.

Kawasan penempatan Sungai Simandalan merupakan sebuah kawasan yang dihuni oleh lapan pekebun kecil, yang terletak kira-kira 3 jam perjalanan menaiki bot dari bandar Tawau.

Menurut jurucakap kesemua pekebun berkenaan, Salleh Talib, 65, beliau dan rakan-rakannya kini masih tidak pasti tentang nasib mereka di atas tanah yang telahupun mereka usahakan sejak 1985 itu.

Ini berikutan dakwanya, mereka yang kini hanya memegang resit permohonan (L.A) pernah dimaklumkan bahawa permohonan mereka tidak dapat diproses atas alasan kawasan itu adalah kawasan Hutan Simpan Bakau.

"Macam mana kawasan kebun kami ini boleh disenaraikan sebagai Hutan Bakau? Kawasan ini jauh di darat dan semasa kami meneroka tanah ini dulu, memang di sini pun tiada bakau," katanya.

Apa yang lebih mengecewakan kata Salleh, meskipun beliau sudah beberapa kali menghantar surat meminta agar kawasan kebun mereka ditinjau oleh jabatan berkaitan, namun sehingga kini tiada apa-apa tindakan diambil.

Setiap mereka katanya telah bercucuk-tanam di tanah berukuran antara lima hingga 10 ekar di kawasan terbabit dan antara tanaman yang diusahakan ialah buah-buahan tempatan dan kelapa sawit.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual, di Sg. Simandalan di sini.

Ketika ditemubual, Salleh turut melahirkan rasa khuatir sekiranya suatu masa nanti mereka tiba-tiba dihalau dari kawasan berkenaan.

"Saya dan semua pekebun lain merayu pihak kerajaan supaya dapat segera membantu kami. Kalau tidak, tentunya nasib kami akan terus terumbang-ambing sebegini," katanya lagi.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Sebatik, Haji Abdul Muis Picho ketika ditemubual sebaik selesai mendengar luahan para pekebun terbabit, berjanji untuk menghulurkan bantuan yang sewajarnya kepada mereka.

"Saya akan cuba bawa masalah mereka kepada pihak atasan saya, selain kepada pihak-pihak lain yang berkaitan seperti Jabatan Tanah dan Ukur serta Jabatan Perhutanan," kata beliau.

Beliau turut berharap agar isu itu dapat diselesaikan secara adil, dalam jangka waktu yang terdekat ini.

No comments: