Thursday, June 26, 2008

OPERASI PATI DISAMBUT BAIK




TAWAU 26 Jun - Kenyataan Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung keputusan kerajaan untuk melancarkan operasi besar-besaran bagi menangkap dan menghalau Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di negeri ini, disambut baik pemimpin dan masyarakat Tawau.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik Haji Abdul Muis Haji Picho ketika dihubungi menyifatkan yang usaha itu sebagai sesuatu yang sememangnya dinanti-nantikan memandangkan isu PATI telahpun berlarutan sejak sekian lama.

Bagaimanapun begitu, Muis menyarankan agar usaha menangkap PATI diseimbangkan dengan usaha mempertingkatkan lagi aspek-aspek kawalan di kawasan persempadanan negara, bagi membanteras pencerobohan rakyat asing ke negara ini.

Sebagai contoh katanya, kawalan keselamatan yang lebih mantap harus dilakukan di Pulau Sebatik Tawau, ekoran dari kedudukan pulau itu yang sebahagiannya berada di kawasan Malaysia sementara sebahagian lagi di bawah pentadbiran Kerajaan Indonesia.

Dalam perkara lain yang tidak kurang pentingnya, beliau juga menggesa agar operasi penangkapan yang bakal dijalankan tidak hanya memfokuskan PATI dari Indonesia dan Filipina, tetapi juga PATI-PATI dari negara-negara luar yang lain.

“Saya harap pemeriksaan itu kelak akan dilakukan secara menyeluruh. Sebagai contoh, saya mendapat tahu bahawa ada juga PATI ini terdiri dari orang-orang Cina yang datang dari Tarakan, Indonesia. Begitu juga rakyat Pakistan dan sebagainya,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau mencadangkan agar pegawai dari Badan Pencegah Rasuah (BPR) turut dilibatkan di dalam mana-mana Jawatankuasa Membanteras PATI, mahupun di dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan usaha menangani kehadiran PATI.

No comments: