Wednesday, June 25, 2008

PENDIDIKAN ASET UTAMA CAPAI KEJAYAAN

TAWAU 25 Jun - Pendidikan merupakan aset paling utama yang perlu ada pada diri setiap individu jika mereka ingin untuk terus mampu bersaing serta mencapai kejayaan di zaman globalisasi tanpa sempadan masa kini.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sebatik, Haji Abdul Muis Haji Picho berkata, tanpa ilmu pengetahuan yang mencukupi, seseorang itu tentunya akan tertinggal seterusnya tidak berupaya untuk membantu negara terus maju ke hadapan.

“Negara kita memerlukan modal insan yang berkualiti untuk memajukan negara pada masa hadapan. Tanpa rakyat yang berilmu, kegemilangan negara hari ini tentunya tidak dapat dipertahankan,” katanya.

Justeru yang demikian, beliau menggesa kepada masyarakat khasnya generasi muda agar agar tidak mempersia-siakan masa mereka dengan sebarang aktiviti yang tidak befaedah, sebaliknya berusaha menuntut lebih banyak ilmu dan kemahiran diri.

Golongan ibubapa pula diseru beliau agar tidak menjadikan kemiskinan sebagai alasan untuk tidak menyekolahkan anak-anak mereka, tetapi berusaha sedaya mungkin bagi memastikan mereka dapat memberi ‘aset’ paling berharga itu kepada anak-anak mereka.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Motivasi di SK Mentadak Baru di Pulau Sebatik di sini.

Dalam hal berkaitan, Muis juga menyeru guru-guru yang telah dipertanggungjawabkan untuk mendidik anak-anak murid di sekolah agar melaksanakan amanah itu dengan penuh ikhlas dan sempurna.

Kata beliau, pengorbanan dan keikhlasan seseorang guru merupakan satu jasa yang tidak dapat dibalas dengan wang ringgit, namun mereka akan dikenang oleh masyarakat sebagai insan berhati mulia yang turut membangunkan negara, selama-lamanya.

Dalam pada itu, beliau menyatakan bahawa seluruh masyarakat termasuklah badan-badan korporat, syarikat-syarikat swasta serta pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan, haruslah turut sama menyumbang bakti memantap serta memajukan lagi dunia pendidikan negara.

No comments: