Tuesday, June 3, 2008

MUIS RAYU BINA PONDOK KESELAMATAN DI SEMPADAN SEBATIK

TAWAU 3 Jun - Kerajaan melalui kementerian atau agensi-agensi berkuatkuasa berkaitan dirayu supaya segera mewujudkan pos-pos keselamatan atau pondok polis di Kg. Pisak-Pisak Pulau Sebatik, sebuah kampung yang terletak berdekatan persempadanan negara.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sebatik Haji Abdul Muis Haji Picho berkata, ketiadaan pos keselamatan atau pondok polis di kampung itu serta kampung-kampung berdekatan lain, menyebabkan masyarakat sentiasa khuatir tentang aspek keselamatan mereka.

Ini kerana kata beliau, kedudukan kawasan perkampungan yang terlalu hampir dengan sempadan Malaysia-Indonesia, - iaitu hanya dengan 30 minit berjalan kaki – ketika ini memudahkan rakyat negara jiran untuk menerobos masuk ke kawasan negara ini.

Malah katanya, di beberapa kawasan sempadan pula terdapatnya ‘lorong-lorong tikus’- laluan yang membolehkan rakyat negara jiran memasuki kawasan negara ini dengan menaiki motosikal

“Kita bimbang dengan perkara ini. Begitu juga dengan masyarakat setempat. Kita semua khuatir jika insiden rompakan yang berlaku ke atas sebuah keluarga di Kg. Pisak-Pisak pada 29 Januari lalu akan berulang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa mengadakan lawatan ke Kg. Pisak-Pisak kelmarin.

Dalam hal berkaitan, Muis memberitahu yang perkara itu sebenarnya telahpun disuarakannya beberapa kali, termasuklah semasa berlangsungnya Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang lalu.

Berikutan itu, beliau berharap pihak kerajaan dan pihak berkuasa keselamatan berkaitan dapat mengambil tindakan drastik segera bagi mewujudkan pos-pos keselamatan dan pondok polis, demi keselamatan lebih 2,000 penduduk di kampung-kampung terlibat.

“Dengan adanya pos kawalan, aktiviti keluar masuk rakyat asing melalui kawasan kampung-kampung berkenaan akan dapat dikawal dan ditangani. Begitu juga pondok polis, ia akan memudahkan masyarakat untuk melaporkan sesuatu kejadian,” katanya.

Ketika ini kata Muis, jika berlaku sesuatu di Kg. Pisak-Pisak atau kampung-kampung berhampiran, pihak berkuasa dianggarkan terpaksa mengambil masa kira-kira tiga jam untuk sampai ke kampung-kampung terlibat.

No comments: