Monday, June 16, 2008

SYARIKAT SWASTA PERLU GIAT TARIK PEKERJA TEMPATAN

TAWAU 16 Jun - Syarikat-syarikat swasta terutamanya yang terlibat dengan aktiviti perladangan dan pembalakan disaran supaya berusaha dengan lebih giat bagi menarik minat pekerja tempatan untuk bekerja di syarikat mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sebatik Haji Abdul Muis Haji Pcho berkata, usaha itu bukan sahaja akan dapat mengurangkan pengimportan pekerja asing, namun apa yang lebih baik ialah dapat membantu mengurangkan masalah pengangguran di negeri ini.

Usaha itu juga jelasnya adalah selari dengan kehendak kerajaan iaitu untuk memastikan negara ini sentiasa membangun manakala rakyatnya pula dapat dibentuk menjadi masyarakat yang berilmu dan berdaya saing.

Bagaimanapun begitu kata Muis, syarikat-syarikat yang terlibat haruslah bersedia menawarkan insentif yang menarik serta menyediakan kemudahan yang lengkap untuk para pekerja mereka, jika ingin hasrat itu tercapai.

“Saya percaya, jika tawaran yang diberi menarik dan kemudahan seperti tempat tinggal yang selesa disediakan, ramai yang akan berminat untuk bekerja di ladang-ladang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Jerayawara Syarikat Sabah Softwood Bhd (SSB) yang diadakan di Pulau Sebatik di sini, kelmarin.

Dalam pada itu, Muis juga menasihatkan masyarakat terutamanya golongan belia supaya tidak sesekali bersikap terlalu memilih pekerjaan.

Katanya, apa yang lebih penting ialah mereka harus menimba kemahiran serta mencari pendapatan untuk membantu keluarga mereka keluar dari kepompong kemiskinan.

‘Golongan muda hari ini juga haruslah sentiasa cuba mempertingkatkan ilmu dan kemahiran diri agar mereka mempunyai mutu dan kualiti yang boleh digunakan untuk mengharungi cabaran pada era globalisasi ini.”

“Jangan sesekali terlibat dengan aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah kerana ia hanya akan membuang masa dan akhirnya, mereka yang berbuat demikianlah juga yang akan merasa rugi,” katanya lagi.

Mengenai jerayawara yang dianjurkan syarikat tersebut pula, beliau berharap usaha terbabit akan dapat dicontohi oleh syarikat-syarikat lain, terutamanya yang berada di daerah Tawau.

Jerayawara tersebut dianjurkan bertujuan untuk memberi penerangan kepada penduduk di Pulau Sebatik tentang peluang-peluang yang ditawarkan oleh Syarikat SSB kepada mereka yang berminat bekerja di syarikat itu.

No comments: