Meninjau masalah parit di rumah penduduk di Kg. Brgosong, Sebatik.
TAWAU 7 Jun - Pihak yang bertanggungjawab ke atas Projek Pembinaan Jalanraya Tamang-Bergosong di Pulau Sebatik di sini disaran supaya menambah parit-parit pembentung pada jalanraya yang dibina, bagi mengelakkan rumah-rumah penduduk dilanda banjir.
Ahli Dewan Undangan Negeri Sebatik Haji Abdul Muis Picho berkata, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) juga diminta memainkan peranannya di dalam hal itu, berikutan masalah banjir tersebut dikatakan berpunca dari kekurangan parit-parit pembentung.
“Saya banyak menerima aduan penduduk termasuk dari Kg. Bergosong yang menyatakan kawasan rumah mereka sering dinaiki air pada musim hujan. Hasil tinjauan, kita dapati ia mungkin berpunca akibat dari ketiadaan parit-parit pembentung (culvert),” katanya.
Menurut Muis, sebelum ini pihaknya pernah berbincang dengan pihak kontraktor terlibat, namun perkara itu masih belum dapat diselesaikan secara sepenuhnya.
Antara alasan yang diberikan pihak kontraktor ujarnya ialah perkara itu adalah tertakluk kepada keputusan JKR dan mereka hanya menjalankan kerja-kerja pembinaan berdasarkan pelan yang dikeluarkan jabatan itu.
“Kita harap masalah ini dapat diselesaikan. Jika tidak, penduduk kampung mungkin akan terus berhadapan dengan masalah yang sama, meskipun setelah jalanraya ini siap kelak,” katanya.
Berhubung hal itu juga, beliau memberitahu yang pihaknya akan turut mengutus surat kepada pihak JKR berkenaan masalah terbabit dan meminta agar jalan penyelesaian dapat segera diambil.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa melawat projek jalanraya itu di Kg. Bergosong Pulau Sebatik di sini.
Sementara itu, wakil syarikat kontraktor, Amsang Masiting ketika ditemubual berhubung masalah yang disuarakan memberitahu, kerja-kerja pembinaan yang dijalankan pihaknya adalah berdasarkan reka bentuk yang telah ditetapkan oleh JKR.
“Kalau untuk menambah culvert, itu kami terpaksa rujuk kepada pihak atasan. Lainlah kalau ada culvert lebih, itu kami boleh letak di kawasan yang diminta penduduk,” katanya.
Projek Jalanraya Bergosong-Tamang merupakan sebuah projek jalanraya sepanjang 19 kilometer yang menghubungkan beberapa buah kampung di Pulau Sebatik.
Projek yang menelan belanja RM 38 juta itu, dijangka siap sepenuhnya menjelang Ogos 2009.
No comments:
Post a Comment