Saturday, June 7, 2008

JANGAN SALAH GUNA KUASA



Muis menepung tawar penganting di Kg. Bergosong, Pulau Sebatik.

TAWAU 7 Jun - Pemimpin akar umbi di kawasan Dun Sebatik dinasihatkan supaya tidak sesekali menyalahgunakan kuasa yang diberi kepada mereka, teruamanya untuk tujuan kepentingan diri atau kroni-kroni mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sebatik, Haji Abd. Muis Haji Picho berkata, mereka sebaliknya haruslah memikul tanggungjawab terbabit dengan penuh jujur dan amanah, demi kepentingan masyarakat yang berada di kawasan pentadbiran mereka.

"Kita tidak mahu amanah yang dipertanggungjawabkan itu hanya digunakan untuk kepentingan diri, ahli keluarga atau rakan-rakan pemimpin terbabit sedangkan kebajikan rakyat pula diabaikan," katanya.

Beliau turut mengingatkan, kerja-kerja pendaftaran rakyat termiskin oleh pemimpin akar umbi juga haruslah dilakukan dengan telus dan mereka yang didaftarkan mestilah terdiri dari rakyat yang benar-benar layak untuk menerima bantuan yang bakal diberi.

“Seperkara lagi, kalau ada murid-murid sekolah yang datang menemui pemimpin akar umbi seperti Pengerusi JKKK bagi mendapatkan tandatangan untuk urusan sekolah mereka, saya harap berilah mereka kerjasama dan jangan berdolak dalih,” kata Muis lagi.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Baitul Mal Sabah memberi ingatan itu ketika berucap di hadapan penduduk Kg. Bergosong Pulau Sebatik, semasa mengadakan lawatan kerja ke kampung itu kelmarin.

Sementara itu ketika ditemubual, Muis memberitahu yang pihaknya kini sedang giat menyenaraikan rakyat termiskin di kawasan Dun itu, bagi tujuan pemberian bantuan untuk rumah-rumah daif.

"Senarai itu akan kita serahkan kepada Ahli Parlimen Kalabakan iaitu Datuk Seri Panglima Haji Abdul Ghapur Salleh, agar urusan berkaitan bantuan terbabit dapat dilakukan segera," jelasnya.

Bantuan itu katanya, dijangka akan disalurkan sebelum akhir tahun ini.

Pada majlis ringkas itu, Muis turut mendengar beberapa permasalahan yang disuarakan masyarakat kampung terbabit dan beliau berjanji, setiap permasalahan yang diutarakan akan diambil perhatian untuk ditangani.

Selesai menghadiri pertemuan berkenaan, beliau turut berkesempatan menghadiri Majlis Perkahwinan pasangan pengantin Sugiman Mohd. Nusu dan Siti Nurlidya Ibrahim di kampung tersebut.

No comments: