Wednesday, May 28, 2008

JALANRAYA TAMANG-BERGOSONG SIAP SEBELUM AKHIR TAHUN



Muis meninjau Projek Jalanraya Kg. Tamang - Bergosong, Pulau Sebatik.

TAWAU 28 Mei - Projek Jalanraya Tamang-Bergosong, Pulau Sebatik sepanjang 19 kilometer yang telah dimulakan pembinaannya pada awal tahun lalu, dijangka akan dapat disiapkan sepenuhnya sebelum akhir tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sebatik Haji Abdul Muis Haji Picho berkata, projek yang menelan belanja lebih RM 30 juta itu, diyakini akan memberi manfaat kepada lebih lima ribu penduduk di pulau terbabit apabila ianya siap kelak.

“Saya telahpun mengadakan lawatan meninjau pelaksanaan projek jalanraya tersebut. Setakat ini kita berpuas hati dengan kerja-kerja yang dilakukan dan saya difahamkan oleh pihak kontraktor, rakyat akan mula menikmatinya sebelum akhir tahun ini,” katanya.

Dalam hal berkaitan, beliau menyeru masyarakat pulau agar bersabar sementara menanti projek itu disiapkan, serta meminta mereka terus memberikan sokongan padu kepada kerajaan, sebagai tanda penghargaan di atas kemudahan yang diberi.

“Projek ini adalah bukti yang kerajaan tidak pernah meminggirkan keperluan masyarakat luar bandar. Kita berharap selepas ini lebih banyak lagi projek-projek pembangunan dapat dibawa ke Pulau Sebatik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual semasa mengadakan lawatan kerja meninjau Projek Jalanraya Tamang-Bergosong dan Projek Mini Estate Sejahtera (MESEJ) Kg. Sungai Laba, di pulau itu, kelmarin.

Dalam pada itu, Muis kelmarin juga turut membuat sedikit teguran kepada pihak kontraktor jalanraya yang terlibat berikutan terdapat aduan masyarakat mengenai air hujan dari projek jalanraya yang sering melimpah ke kawasan rumah mereka.

Bagaimanapun begitu, pihak kontraktor telah berjanji untuk memperbaiki keadaan, termasuklah memperbesarkan parit-parit di tepi jalanraya berkenaan.

Selain itu, Muis mencadangkan kepada mereka agar cerun-cerun bukit di sepanjang jalanraya yang dibina, ditanam dengan rumput bagi memastikan hakisan tanah tidak berlaku.

Mengenai Projek MESEJ pula, beliau mencadangkan kepada Jabatan Tanah dan Ukur agar dapat mengeluarkan beberapa kawasan tanah yang telahpun ditanam penduduk, yang termasuk di dalam pelan pembinaan rumah untuk projek tersebut .

“Saya mendapat tahu ada tujuh atau lapan penduduk pemegang Geran Sementara yang telahpun mempunyai tanaman di kawasan itu. Jika boleh, kita harap Jabatan Tanah dan Ukur dapat mengeluarkan kawasan mereka dari pelan asal,” katanya.

Projek MESEJ Kg. Sungai Laba adalah projek penanaman kelapa sawit di atas tanah seluas 242 ekar, selain pembinaan 36 unit rumah.

Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) Sebatik Zakaria Sulaiman, turut hadir pada lawatan kerja itu.

No comments: