Antara pelajar yang menyertai kategori pertandingan nasyid.
TAWAU 27 Mei - Ibubapa disaran supaya tidak hanya berusaha ‘mencemerlangkan’ anak-anak mereka dengan ilmu ‘duniawi’ tetapi dalam masa yang sama hendaklah memastikan anak-anak mereka turut cemerlang dari aspek ilmu ‘ukhrawi’.
Ahli Dewan Undangan Negeri Sebatik, Haji Abdul Muis Picho berkata, pemberian pendidikan yang seimbang di antara ilmu akademik dan ilmu agama adalah antara perkara yang perlu dititik-beratkan bagi mencapai hasrat tersebut.
“Jangan sesekali kita mengabaikan pemberian pendidikan agama kepada anak-anak kita. Hanya pendidikan agama yang akan dapat membentuk jiwa yang luhur, bersih dan kerohanian yang mantap pada diri anak-anak kita,” katanya.
Dalam hal berkaitan beliau memberitahu, ketika ini terdapat pelbagai bentuk peluang pembelajaran ilmu-ilmu agama yang disediakan oleh kerajaan, termasuklah untuk mereka yang masih di peringkat usia muda.
Pengwujudan Kelas Asas Fardhu Ain (KAFA) yang dikelolakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) jelasnya, adalah antara peluang pendidikan yang disediakan kerajaan, termasuklah untuk mereka yang tinggal di kawasan luar bandar.
“Manfaatkan peluang-peluang ini. Kita tidak mahu anak-anak kita ini hanya kaya dari segi ilmu dunia, tetapi miskin dari segi akhlak, nilai-nilai agama serta mudah pula terpengaruh dengan gejala-gejala sosial yang negatif,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Ihtifal Murid-Murid KAFA Kawasan Dun N.60 Sebatik, di Sekolah Islamiah Tawau di sini kelmarin.
Dalam pada itu, Muis ketika ditemubual turut menyifatkan guru-guru KAFA di kawasannya sebagai insan berhati mulia kerana sentiasa giat komited serta memberikan pendidikan yang terbaik kepada anak-anak murid mereka.
Meskipun serba kekurangan ujarnya, usaha komited mereka itu adalah sesuatu yang amat terpuji dan wajar menjadi contoh kepada pihak lain.
Dalam hal berkaitan, beliau turut menyeru kepada masyarakat Dun Sebatik, badan-badan korporat mahupun syarikat-syarikat swasta, supaya tampil menghulurkan bantuan kepada kelas-kelas KAFA di kawasannya.
Dengan usaha murni itu katanya, ia diyakini akan dapat melahirkan lebih ramai generasi muda Islam cemerlang dari kawasan berkenaan.
Sebanyak empat jenis pertandingan telah diadakan pada program tersebut terdiri dari Tilawah Al-Quran, Hafazan, Bercerita dan Nasyid.
Hadir sama menjayakan program itu ialah Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) Sebatik Zakaria Sulaiman dan Penyelia KAFA Daerah Tawau Ustaz Mohd Amin Nasir.
No comments:
Post a Comment