Antara kumpulan nasyid yang mengambil bahagian.
TAWAU 17 Mei - Keindahan kesenian Islam wajar dijadikan wadah bagi membangunkan nilai-nilai jati diri generasi muda untuk menjadi ummah yang cemerlang di dunia dan akhirat, kata Ahli Dewan Undangan Negeri Sebatik, Haji Abdul Muis Haji Picho.
Usaha menyemai nilai-nilai kesenian murni itu katanya, perlu dilakukan agar golongan berkenaan tidak mudah terpengaruh dengan apa juga bentuk kesenian lain yang mungkin boleh memesongkan akidah dan pendirian mereka.
Nasyid dan marhaban jelasnya, adalah antara bentuk kesenian yang diyakini mampu mengisi jiwa generasi muda Islam, asalkan ia dilakukan dengan cara yang betul serta menepati kehendak golongan muda terbabit.
Sebarang bentuk pendekatan yang diambil bagi menyemai nilai-nilai seni itu jelasnya, haruslah pula bersesuaian dengan peredaran zaman dan perkembangan semasa supaya ia tidak ketinggalan zaman meskipun berlandaskan ajaran Al-Quran dan As-Sunnah.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Perasmian Ihtifal Kesenian Islam Peringkat Parlimen Kalabakan, anjuran Jabatan Kemas Daerah Tawau di Dewan Serbaguna Kg. Pasir Putih Baru di sini.
Menyentuh mengenai program itu pula, Muis memuji penganjurannya dan menyifatkan yang program itu berupaya mengangkat serta memartabatkan lagi kesenian Islam khasnya nasyid dan marhaban.
Masyarakat katanya disaran supaya memberikan sokongan padu apabila berlangsung penganjuran program-program sedemikian dan mereka ujarnya tidak harus leka dengan sebarang bentuk hiburan lain, yang bukan berunsurkan ajaran suci agama.
Sementara itu, Pengerusi Program Ustaz Abdul Naim Muhamad ketika ditemui pula menyatakan yang program itu adalah antara program yang dianjurkan Unit Bina Insan Jabatan Kemas, bagi membentuk nilai-nilai jati diri di kalangan umat Islam.
Pada program itu katanya, beberapa kategori pertandingan telah diadakan seperti Nasyid Kategori Lelaki, Nasyid Kategori Wanita dan Marhaban Lelaki.
Mereka yang terpilih pada program di Peringkat Parlimen Kalabakan ujarnya, akan diketengahkan untuk bersaing dengan kumpulan-kumpulan lain di peringkat Zon Tawau yang akan diadakan pada 18 Mei 2008 depan.
Hadir sama pada program itu ialah Pemimpin Kemajuan Masyarakat Sebatik Zakaria Sulaiman dan Pegawai Kemas Daerah Tawau, Shahrizal Haji Mohd Shom.
No comments:
Post a Comment