Tuesday, May 6, 2008

CADANG POS KAWALAN HALANG PENCEROBOHAN

TAWAU 6 Mei - Kerajaan diminta supaya segera mewujudkan pos-pos kawalan keselamatan di Pulau Sebatik berikutan kedudukan pulau itu yang sebahagian daripadanya berada di kawasan Malaysia dan sebahagian lagi berada di kawasan negara jiran Indonesia.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sebatik, Haji Abdul Muis Haji Picho berkata, situasi itu telah memudahkan penduduk negara jiran untuk menceroboh masuk ke kawasan pulau yang terletak di bawah pentadbiran negara ini, walaupun hanya dengan berjalan kaki.

Justeru itu ujarnya, penduduk pulau kini sentiasa berada di dalam ketakutan apatah lagi apabila sebelum ini iaitu pada 29 Januari 2008 lalu, beberapa perompak dari negara jiran terbabit telah merompak seorang penduduk di salah sebuah kampung di pulau itu.

“Justeru itu, di kesempatan ini saya ingin meminta agar pos-pos kawalan keselamatan di darat dan di perairan dapat diwujudkan segera oleh kerajaan di kawasan persempadanan negara di Pulau Sebatik.”

“Pos-pos kawalan darat ini mungkin boleh dijaga oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) dan mereka ini mungkin boleh berkawal menjaga kawasan persempadanan bagi mengelakkan ia dicerobohi oleh rakyat asing,” katanya.

Muis menyatakan demikian dalam usulnya di Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di Kota Kinabalu.

Dalam pada itu, beliau dalam pembentangan usulnya juga menyatakan hasratnya agar kerajaan dapat mewujudkan sebuah Pekan Kecil dan kem Pusat Latihan Khidmat Negara di kawasan pulau itu.

Kedua-dua cadangan itu ujarnya, diyakini akan dapat menjadi pemangkin ekonomi dan menjana kehidupan penduduk setempat yang kini serba ketinggalan ke arah yang lebih baik, jika ianya dapat direalisasikan.

Tidak setakat itu, Muis menggesa semua jabatan atau agensi kerajaan suoaya dapat meninjau potensi yang terdapat di pulau terbabit, sekaligus melaksanakan program-program yang difikirkan mampu merubah kehidupan penduduk kampung.

Dalam hal berkaitan, sebarang projek atau program yang dilaksanakan di kawasan pulau itu pula katanya, haruslah diselesaikan segera dan tidak dibiarkan terbengkalai, agar ianya dapat memberi manfaat kepada rakyat yang memerlukannya.

Antara projek yang perlu diselesaikan segera pelaksanaannya katanya ialah seperti projek Mini Estet Sejahtera Rakyat (MESEJ) di Kg. Sungai Laba dan pembinaan rumah-rumah PPRT di Kg. Sungai Tamang dan Kg. Sungai Tongkang.

No comments: