Wednesday, May 21, 2008

SUKAN MERAPAT UKHWAH PEMIMPIN DAN RAKYAT






Berlandaskan matlamat untuk mengukuhkan perpaduan di kalangan masyarakat berbilang kaum serta melahirkan rakyat yang cergas, cerdas dan sihat, satu program berbentuk sukan rakyat baru-baru ini dianjurkan di Kg. Mentadak Baru, Pulau Sebatik Tawau.

Pada program yang berlangsung seawal jam 9.30 pagi di padang kampung itu, pelbagai acara sukan rakyat seperti tarik tali, bowling kelapa, tendang bola dan beberapa persembahan kebudayaan seperti tarian daling-daling, turut diadakan.

Apa yang lebih menarik, acara-acara yang diadakan nampaknya tidak hanya disertai atau dijayakan oleh penduduk kampung, malah beberapa orang kenamaan termasuk wakil-wakil rakyat turut mengambil bahagian beraksi menunjukkan bakat tersembunyi mereka.

Antara ‘orang kenamaan’ terlibat ialah Ahli Parlimen Kalabakan YB Datuk Seri Panglima Haji Ghapur Salleh, Ahli Dewan Undangan Negeri Sebatik YB Haji Abdul Muis Haji Picho dan Ahli Dewan Undangan Negeri Merotai, YB Pang Yuk Ming.

New Sabah Times yang turut menghadiri program itu, berkesempatan merakamkan aksi YB Abdul Muis menyertai pertandingan tarik tali, kehebatan YB Datuk Abdul Ghapur menendang bola serta bakat tersembunyi YB Pang Yuk Ming bermain bowling kelapa.

Terdahulu di majlis itu, Datuk Ghapur dalam amanatnya meminta masyarakat di pulau itu supaya mempertahankan semangat bersatu-padu yang sedia terjalin sejak sekian lama, selain terus memperkukuhkannya demi kepentingan generasi masa hadapan.

Kata beliau, masyarakat juga disaran supaya memberikan sokongan padu kepada barisan kepimpinan kerajaan dan khasnya wakil rakyat di kawasan mereka, agar segala perancangan pembangunan yang dibuat dapat dilaksanakan dengan berjaya.

“Saya juga ingin meminta setiap mereka yang mempunyai jawatan sebagai pemimpin termasuk di peringkat kampung supaya turut bekerja keras dan bersungguh-sungguh membantu wakil rakyat dan kerajaan membawa pembangunan,” katanya.

Sebagai Ahli Parlimen Kalabakan kata Ghapur, beliau juga akan memastikan wakil rakyat yang terpilih di kawasan itu, melaksanakan tugasnya dengan bersungguh-sungguh berikutan kemenangan pada pilihan raya lalu merupakan satu amanah dari rakyat.

Sementara itu, Abdul Muis di dalam ucapannya sebelum acara sukan mula berlangsung pula, meminta masyarakat supaya memberikannya sokongan padu di sepanjang beliau memikul amanah sebagai pemimpin di kawasan terbabit.

Beliau juga katanya amat berterima kasih di atas kepercayaan yang diberikan kepadanya pada pilihan raya lalu dan berjanji untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat di kawasan Dun Sebatik amnya, dan di Pulau Sebatik khasnya.

Tinjauan di sepanjang program itu berlangsung mendapati hubungan mesra di antara masyarakat setempat dengan para pemimpin yang hadir, ternyata begitu terserlah.

Perkara itu jelas kelihatan ketika acara-acara sukan rakyat mula dipertandingkan dan wakil-wakil rakyat yang hadir dilihat bergaul mesra dan turut melibatkan diri bersama-sama masyarakat menyertai acara-acara yang diadakan.

Lebih 200 masyarakat hadir memeriahkan program berkenaan.

No comments: