Friday, August 22, 2008

TOLAK DAKYAH PERPECAHAN - MUIS


TAWAU 22 Ogos - Ahli Dewan Undangan Negeri Sebatik Haji Abdul Muis Picho meminta masyarakat khasnya yang berada di kawasannya agar menolak sebarang dakyah yang membawa kepada perpecahan, sebaliknya terus bersatu-padu serta menyokong penuh kepimpinan Kerajaan Barisan Nasional (BN) hari ini

Ini kerana katanya, jika masyarakat mudah terpengaruh dengan dakyah-dakyah yang sering disebarkan terutamanya oleh pihak pembangkang, dikhuatiri perkara itu akan mengganggu-gugat kestabilan dan kesejahteraan negara

Tidak setakat itu ujarnya, situasi itu juga mungkin akan membantutkan segala perancangan kerajaan untuk membantu mereka termasuk yang berada di kawasan luar bandar, seperti yang telahpun dilakukan sejak negara mencapai kemerdekaan lebih 50 tahun lalu.

“Masyarakat harus sedar tentang perkara ini. Jangan sesekali mempersia-siakan segala nikmat yang kita miliki selama ini hanya disebabkan kita terlalu mudah mempercayai sesuatu yang belum terbukti kebenarannya,” katanya.

Bagaimanapun begitu, beliau melahirkan keyakinannya yang penduduk di Dun Sebatik bukanlah masyarakat yang mudah diperkotak-katikkan, sebaliknya rakyat yang bijak dan tahu menghargai segala pengorbanan kerajaan serta para pemimpin terdahulu terhadap mereka.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Pemimpin Bersama Rakyat, di SK Panglima Habibullah Kg. Sungai Pukul, Pulau Sebatik Tawau.

Dalam hal berlainan, Muis ketika berucap turut menggesa golongan ibubapa supaya tidak sesekali mengabaikan pemberian pendidikan kepada anak-anak, meskipun mereka dihimpit kemiskinan.

Hari ini kata beliau, terdapat pelbagai bentuk bantuan disediakan oleh kerajaan dan semua itu haruslah dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya.

“Ingat! Hanya pendidikan yang mampu mengubah masa hadapan keluarga kita. Justeru, berilah anak-anak pendidikan yang sempurna dan seimbang agar mereka mampu mengharungi dunia tanpa sempadan yang semakin mencabar, sekaligus berbakti kepada agama, bangsa dan negara,” katanya.

Menyentuh program terbabit, Muis memberitahu yang beliau berharap program tersebut dapat mengeratkan lagi ukhuwah di kalangan penduduk Kg. Sungai Pukul sesama sendiri, serta di kalangan penduduk kampung berkenaan dengan para pemimpin yang datang dari bandar Tawau.

Pada majlis itu, Muis juga menyampaikan hadiah kepada kanak-kanak di pulau itu yang berjaya memenangi beberapa pertandingan yang diadakan.

Sebaik selesai menghadiri program terbabit, beliau bersama para pemimpin akar umbi di kawasannya berkesempatan melawat rumah-rumah penduduk miskin di kampong tersebut.
Hadir sama pada program itu ialah Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) Sebatik, Zakaria Sulaiman dan Pegawai Pembangunan Masyarakat (CDO) Sebatik, Azmie Wahid.

Thursday, August 21, 2008

JADIKAN KOKO TANAMAN UTAMA


Muis mendengar penerangan dari Sapiyah mengenai buah koko.

TAWAU 21 Ogos - Usahawan tani di Bahagian Tawau disaran supaya menjadikan koko sebagai tanaman utama mereka memandangkan harga pasaran tanaman komoditi tersebut yang kini mencecah RM 8,000 setan metrik, selain permintaan dunia terhadap biji dan produk koko yang semakin meningkat.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sebatik Haji Abdul Muis Haji Picho berkata, berdasarkan kedua-dua faktor berkenaan juga, beliau yakin yang tanaman koko masih berdaya saing serta berupaya membantu membangunkan lagi ekonomi negara.

Justeru itu, beliau berharap usahawan tani yang telah menanam koko tidak menukar tanaman mereka kepada tanaman lain seperti kelapa sawit, sebaliknya mempertingkatkan lagi keluasan tanaman mereka selain terus menimba ilmu berhubung kemahiran terkini teknologi penamanan koko.

Dengan berbuat demikian ujarnya, beliau yakin daerah Tawau akan kembali gemilang dengan gelaran ‘Bandar Koko’, seperti di awal 1980-an hingga akhir 1990-an lalu.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kursus Lanjutan Teknologi Koko, Program Konsolidasi di Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Koko Tawau, di sini.

Dalam hal berkaitan, Muis memberitahu bahawa Lembaga Koko Malaysia (LKM) telah berjaya melahirkan 347 pekebun kecil koko di kawasan Pulau Sebatik, melalui Program Pembangunan Pekebun-Pekebun Kecil Koko (PPPKK), sejak program itu diperkenalkan pada 1997.

Ketika ini ujarnya, keluasan kebun koko di pulau tersebut adalah seluas 390 hektar manakala keluasan keseluruhan kebun koko di daerah Lahad Datu, Kinabatangan, Kunak, Semporna dan Tawau ialah seluas 1,200 hektar.


Menyampaikan Anugerah Ketua Kelompok Jaya Peringkat Wilayah Pantai Timur Sabah kepada Said Jaafar dari Kg. Sungai Tongkang, Pulau Sebatik.

“Kita amat berterima kasih kepada kerajaan serta LKM kerana menjalankan program PPPKK pada Rancangan Malaysia Ke-Tujuh (RMK-7) dan RMK-8 yang lalu, yang hari ini telah banyak membantu mempertingkatkan ekonomi masyarakat khasnya para pekebun kecil di negeri ini,” katanya.

Menyentuh program itu, beliau berharap para peserta yang mengikuti kursus tersebut agar memanfaatkan segala ilmu yang diperolehi, khasnya untuk memajukan lagi industri tanaman koko mereka.

Seramai 205 peserta telah menyertai kursus sehari itu dan pada majlis tersebut, Muis turut berpeluang menyampaikan Anugerah Petani Jaya Peringkat Zon Wilayah Pantai Timur Sabah 2008 kepada Baru Rila dari Semporna dan Anugerah Ketua Kelompok dan Kelompok Jaya Peringkat Wilayah Pantai Timur Sabah 2008 kepada Said Jaafar dari Kg. Sungai Tongkang Sebatik.

Hadir sama pada program itu ialah Pengurus Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Koko Tawau, Shari Fudin Sha’ari dan Pengarah Bahagian Pemindahan Teknologi Koko LKM, Hajah Sapiyah Subali.

Tuesday, August 5, 2008

HARGAI ERTI KATA KEMERDEKAAN SEBENAR

TAWAU 5 Ogos - Masyarakat diingatkan supaya menghargai erti kata sebenar kemerdekaan negara serta menolak dakyah-dakyah yang boleh membawa kepada perpecahan.

Ahli Dewan Undangan Negeri N.60 Sebatik Haji Abdul Muis Haji Picho berkata, jika masyarakat tidak memandang serius perkara itu, dikhuatiri segala nikmat yang dirasai kini tidak dapat dipertahankan untuk selama-lamanya.

Justeru itu katanya, setiap masyarakat haruslah memainkan peranan, khasnya untuk memperkukuhkan lagi kesejahteraan dan perpaduan, yang telahpun terjalin sejak sekian lama.

"Jangan kita biarkan mana-mana pihak mengganggu-gugat negara kita. Kita harus bersatu-hati memastikan negara terus maju ke hadapan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Pentarama anjuran Jabatan Penerangan di Gerakan Daya Wawasan Merotai Besar di sini.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan masyarakat supaya bijak menilai segala isu atau tohmahan yang sering dilemparkan kepada kerajaan, akhir-akhir ini.

Perlu disedari ujarnya, kerajaan sentiasa melakukan yang terbaik untuk rakyat dan ianya telahpun terbukti sejak berpuluh tahun dahulu.

Oleh itu ujarnya, rakyat hendaklah pula terus menyokong kerajaan agar lebih banyak agenda-agenda pembangunan dapat dilaksanakan dengan berjaya.

Hadir sama pada majlis itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Merotai, Pang Yuk Ming.