Thursday, April 24, 2008

GENERASI MUDA DINASIHAT TIMBA ILMU

TAWAU 24 Apr - Masyarakat luar bandar khasnya yang terdiri dari generasi muda disaran supaya sentiasa menimba ilmu serta kemahiran diri bagi memastikan mereka mampu bersaing di era globalisasi dunia tanpa sempadan masa kini.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sebatik Haji Abdul Muis Haji Picho berkata, tanpa ilmu atau kemahiran diri, mereka tentunya tidak akan mampu untuk keluar dari belenggu kemiskinan sekaligus merubah nasib mereka ke arah kehidupan yang lebih baik.

Sebaliknya katanya, jika mereka mempunyai kedua-dua perkara berkenaan, mereka tentunya akan dapat memanfaatkan pengetahuan yang dimiliki untuk mempertingkatkan taraf hidup sosial mereka, terutama dari segi peningkatan taraf ekonomi.

Ketika ini katanya, banyak peluang-peluang yang disediakan kerajaan untuk memastikan masyarakat memperolehi ilmu pengetahuan dan kemahiran diri dan semua yang disediakan kerajaan itu, tidak seharusnya dipersia-siakan.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Program Roadshow anjuran Kolej Komuniti Tawau di SMK Wallace Bay di sini, kelmarin.

Dalam pada itu, Muis juga meminta golongan ibubapa agar tidak menjadikan alasan kemiskinan untuk tidak menghantar anak-anak mereka mendapatkan pendidikan.

Sikap sedemikian katanya boleh merugikan anak-anak mereka kerana pendidikan adalah harta yang perlu ada pada diri setiap individu.

Menyentuh program terbabit, beliau berharap program itu dapat terus dianjurkan oleh Kolej Komuniti Tawau dari semasa ke semasa, bagi memberi peluang kepada masyarakat untuk mengetahui peluang-peluang mendapatkan kemahiran yang disediakan kerajaan.

Beliau sendiri juga katanya, akan sentiasa bersedia untuk bekerjasama menganjurkan program-program yang boleh memberi manfaat dan faedah kepada penduduk di kawasannya, pada bila-bila masa.

Monday, April 21, 2008

PERUNTUKAN MAKANAN BUKTI KEPRIHATINAN KERAJAAN

TAWAU 21 Apr - Keputusan Kerajaan memperuntukkan RM4 billion bagi menjayakan usaha pengeluaran makanan serta mengatasi inflasi, disifatkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Sebatik Haji Abd. Muis Picho sebagai tindakan yang tepat pada masanya.

Ini kerana katanya, keputusan kerajaan itu akan memberi manfaat kepada seluruh masyarakat tanpa mengira latar-belakang, sekaligus mengurangkan kebergantungan negara kepada sumber bekalan makanan dari luar negara.

Sebagai contoh katanya, cadangan membuka sebuah jelapang padi baru di Sarawak seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, pastinya akan memberi kesan positif yang besar kepada pengeluaran padi negara.

“Usaha ini secara tidak langsung juga saya lihat merupakan bukti yang kerajaan sememangnya prihatin terhadap keperluan semasa rakyat dan keadaan ekonomi mereka, khasnya yang terdiri dari golongan berpendapatan rendah” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan pucuk pimpinan negara itu, seperti yang disiarkan New Sabah Times Ahad lepas.

Dalam pada itu, Muis ketika ditemui turut menyeru rakyat supaya terus memberikan sokongan padu kepada kerajaan yang sedia ada agar segala perancangan yang dibuat, dapat dilaksanakan dengan penuh sempurna.

Apa juga perancangan yang dibuat katanya, tentunya tidak akan berjaya tanpa adanya gandingan mantap di antara kerajaan dan rakyat.

Dalam hal berkaitan, beliau juga meminta masyarakat khasnya yang berada di kawasan Dun Sebatik, supaya sentiasa berusaha memajukan diri mereka dari semasa ke semasa.

Sebagai wakil rakyat kawasan itu jelasnya, beliau terbuka untuk menerima sebarang cadangan, pendapat atau komen dari mana-mana pihak, asalkan ianya berbentuk positif serta mampu memberi kebaikan kepada masyarakat secara keseluruhannya.

Friday, April 18, 2008

KONTRAKTOR DIGESA PATUHI JADUAL KERJA


Muis bersama pegawainya meninjau permasalahan rakyat di Pulau Sebatik.

TAWAU 18 Apr - Para kontraktor yang diberi mandat melaksanakan projek-projek pembangunan kerajaan di Pulau Sebatik diminta supaya segera menyiapkan kerja-kerja mereka mengikut jadual yang ditetapkan dan tidak membiarkan projek yang diberi terbengkalai.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sebatik, Haji Abdul Muis Haji Picho berkata, perkara itu adalah penting bagi memastikan rakyat segera mendapat manfaat hasil dari projek-projek terbabit, sekaligus untuk mengelakkan berlakunya pembaziran wang kerajaan.

“Saya dapati terdapat beberapa projek di pulau ini yang nampaknya tidak berjalan seperti yang dirancang. Saya berharap pihak kontraktor yang terlibat segera turun padang dan tidak membiarkan projek-projek tersebut terus terbiar begitu sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau Projek Mini Estet Sejahtera (MESEJ) Rakyat di Kg. Sungai Laba dan projek pembinaan lapan buah rumah di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Kg. Sg. Tongkang dan Kg. Sg. Tamang, di sini.

Pelaksanaan Projek MESEJ Kg. Sungai Laba - satu projek yang melibatkan aktiviti penanaman kelapa sawit dan pembinaan 49 buah rumah - difahamkan tidak berjalan lancar, begitu juga dengan projek pembinaan lapan buah rumah PPRT tersebut.

“Mengenai rumah PPRT, saya harap Jabatan Pembangunan Persekutuan Sabah (JPPS) dapat mengambil-alih projek ini dan melakukan sesuatu agar pembinaan rumah-rumah terbabit dapat diteruskan semula,” katanya.

Dalam hal berlainan, Muis juga menyatakan yang beliau berhasrat untuk mewujudkan sebuah pekan kecil di pulau itu dan mencadangkan agar pulau itu turut dipilih sebagai lokasi penempatan Kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Berhubung kedua-dua perkara berkenaan, beliau katanya akan mengusulkan cadangan terbabit kepada pihak atasannya dan kepada pihak-pihak yang berkaitan dalam tempoh terdekat ini.

“Kita percaya apabila di pulau ini terdapat pekan kecil, ia bukan akan memberi kemudahan kepada penduduk malah dapat menjana pembangunan ekonomi dan menarik kehadiran ramai peniaga seperti dari bandar Tawau.”

“Begitu juga dengan Kem PLKN. Apabila kem itu dapat dibina di sini, sudah tentu ia akan membawa banyak perubahan kepada wajah pulau ini,” kata beliau.

Dalam hal berkaitan, beliau menasihatkan para penduduk di pulau itu supaya tidak menjual tanah yang dimiliki mereka di pulau itu, sebaliknya memanfaatkannya termasuk melalui aktiviti pertanian.

Pihaknya katanya akan berusaha segra untuk membantu membekalkan benih sawit kepada mereka, seperti yang dijanjikan pada musim pilihan raya lalu.

Dalam hal berlainan, beliau menyarankan agar kontraktor pembinaan jalan raya di pulau itu dapat membina parit di bahagian tepi jalan raya, bagi mengelakkan air hujan mengalir ke rumah penduduk yang terletak di tepi jalan, apabila waktu hujan.

“Kita juga harap pihak kontraktor dapat membantu menurap jalan-jalan masuk ke rumah-rumah penduduk,” katanya.

Turut hadir bersama di dalam tinjauan itu ialah Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) Sebatik, Zakaria Sulaiman.

Friday, April 11, 2008

TIMBA ILMU DAN KEMAHIRAN DIRI - MUIS


Muis menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta sambil disaksikan oleh Sharfah Mariam.


TAWAU 11 Apr - Kaum wanita harus bijak merebut pelbagai peluang menimba ilmu atau kemahiran yang disediakan kerajaan agar pengetahuan yang dimiliki, dapat dimanfaatkan untuk memajukan diri serta menjadi sumber mempertingkatkan ekonomi keluarga.

Membuat seruan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri N.60 Sebatik Haji Abd. Muis Haji Picho berkata, ketika ini terdapat pelbagai bentuk kursus jangka panjang atau jangka pendek disediakan kerajaan, termasuklah untuk mereka yang kurang berkemampuan.

“Kemahiran harus ada pada diri setiap individu. Jika kita ada kemahiran, kita boleh menambah pendapatan diri sekaligus membebaskan diri kita dari belenggu kemiskinan,” katanya.



Mendengar penjelasan penghasilan kraf tekstil dari tenaga pengajar kursus.


Beliau berkata demikian ketika ditemubual selepas merasmikan Majlis Penyampaian Sijil Kursus Kraf Tekstil dan Ketrampilan Imej, anjuran bersama Pusat Giat Mara dan Astral Training and Development Sdn. Bhd, di Dewan Asnur di sini.

Kursus yang disertai 30 peserta itu, telah berlangsung selama lima hari bermula 7 April 2008, di salah sebuah hotel terkemuka di bandar ini.

Dalam pada itu, Muis menasihatkan semua peserta kursus berkenaan yang terdiri dari Ketua Isi Rumah Termiskin (KIRT) supaya tidak mempersia-siakan pengetahuan dan kemahiran yang telah diperolehi mereka.

Jika tidak katanya, penganjuran kursus itu tentunya tidak akan bermakna dan tidak akan dapat mencapai sasaran dan objektifnya.

Dalam hal berkaitan, beliau turut memuji kraf tekstil yang dihasil para peserta kursus, sambil melahirkan keyakinannya yang kraf-kraf tekstil terbabit, boleh memenuhi kehendak pasaran.

Sementara itu, Pengurus Kanan Pusat Giat Mara Tawau Asmuran Asnawi ketika ditemui menyatakan yang kursus berkenaan adalah untuk golongan KIRT yang telah dikenalpasti di setiap kawasan Dun, bertujuan memberi mereka kemahiran diri.

Setelah diberikan kursus jelasnya, para peserta akan diberikan pula instrumen untuk memulakan perniagaan dan perkembangan mereka akan dipantau dari semasa ke semasa.

“Kita harap lebih ramai KIRT dapat dikeluarkan dari senarai kemiskinan tegar, dengan adanya usaha kerajaan seumpama ini,” katanya sambil memberitahu yang setiap peserta kursus terbabit diberikan sebuah mesin jahit elektronik dan peralatan menjahit.

Bagi seorang peserta kursus, Irmahwati Durahman, 30, beliau bersyukur kerana berpeluang mengikuti kursus tersebut.

“Banyak kemahiran yang dulu saya tidak tahu, sekarang saya sudah tahu hasil mengikuti kursus ini. Kursus ini memberi manfaat besar kepada saya dan rakan-rakan,” katanya yang dinobatkan sebagai Peserta Terbaik dari setiap kumpulan, di akhir kursus itu.

Tinjauan di ruangan pameran mendapati terdapat pelbagai jenis kraf tekstil yang dihasilkan para peserta, dipamerkan di ruang tersebut.

Pada majlis penutupan itu, para tetamu turut dihiburkan dengan persembahan tarian dan ratu fesyen dari para peserta.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pengarah Urusan Astral Training and Development Sdn. Bhd, Sharifah Mariam Mustamin.

Friday, April 4, 2008

WUJUDKAN POS KESELAMATAN DI SEBATIK



TAWAU 4 Apr - Ahli Dewan Undangan Negeri Sebatik, Haji Abd. Muis Haji Picho di sini meminta pihak berkuasa berkaitan agar dapat mewujudkan segera pos-pos kawalan di beberapa kampung di Pulau Sebatik, demi menjamin keselamatan para penduduk terlibat.

Katanya, perkara itu amatlah penting memandangkan beberapa kampung di pulau itu terletak berdekatan dengan persempadanan Indonesia, seperti Kg. Pisak-Pisak yang hanya sejauh kira-kira 30 minit berjalan kaki dari sempadan negara jiran terbabit.

“Kita harap perkara ini dapat diberikan perhatian sewajarnya.. Kita tidak mahu insiden rompakan bersenjata yang menimpa penduduk Kg. Pisak-Pisak pada 29 Januari lalu akan berulang lagi. Perkara yang lalu pun sudah cukup membimbangkan penduduk,” katanya.

Untuk rekod, Kg. Pisak-Pisak didiami kira-kira 200 penduduk dan pada insiden 29 Januari 2008 itu, rumah Pengerusi JKKK-nya, Kamlun Haji Kamin, dirompak enam lelaki yang bersenjatakan pistol dan samurai, dipercayai rakyat dari negara jiran.

Di dalam tragedi kira-kira jam 7.30 pagi itu, Kamlun dan anak lelakinya yang berusia 17 tahun turut dipukul oleh perompak-perompak terbabit, sebelum beberapa barangan milik mereka dilarikan.

Menurut Muis, walaupun ketika ini sudah terdapat beberapa pusat keselamatan diwujudkan di pulau itu seperti di Kg. Bergosong, namun ia masih perlu ditambah khasnya untuk kawasan-kawasan yang terletak jauh dari pusat-pusat terbabit.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa mengadakan lawatan kerja ke Kg. Pisak-Pisak dan Kg. Sungai Pukul, Pulau Sebatik, kelmarin.

Dalam perkembangan berlainan, Muis berjanji yang beliau akan bertindak segera bagi membantu menyelesaikan masalah ketiadaan jalan raya di Kg. Pisak-Pisak dan masalah keadaaan jambatan daif yang telah berusia lebih 20 tahun di Kg. Sungai Pukul.

Mengenai masalah jalan raya di Kg. Pisak-Pisak, para penduduk termasuk kira-kira 50 murid sekolah di kampung itu, kini terpaksa menjadikan jalan denai sebagai laluan untuk mereka ke kampung berhampiran atau ke sekolah yang terletak sejauh 1.5 kilometer.

“Kita dapati kedua-dua kampung ini memang ketinggalan dari arus pembangunan negara. Oleh itu, saya akan berusaha segera membantu mereka termasuklah dengan menggunakan peruntukan yang diberikan kerajaan kepada saya,” katanya.

Berhubung permintaan para penduduk Kg. Sungai Limau yang merayu agar mereka ditempatkan secara berkelompok di atas sebidang tanah rezab kerajaan di kampung itu pula, perkara itu ujarnya akan dirujuk kepada Jabatan Tanah dan Ukur.