Muis bersama pegawainya meninjau permasalahan rakyat di Pulau Sebatik.TAWAU 18 Apr - Para kontraktor yang diberi mandat melaksanakan projek-projek pembangunan kerajaan di Pulau Sebatik diminta supaya segera menyiapkan kerja-kerja mereka mengikut jadual yang ditetapkan dan tidak membiarkan projek yang diberi terbengkalai.
Ahli Dewan Undangan Negeri Sebatik, Haji Abdul Muis Haji Picho berkata, perkara itu adalah penting bagi memastikan rakyat segera mendapat manfaat hasil dari projek-projek terbabit, sekaligus untuk mengelakkan berlakunya pembaziran wang kerajaan.
“Saya dapati terdapat beberapa projek di pulau ini yang nampaknya tidak berjalan seperti yang dirancang. Saya berharap pihak kontraktor yang terlibat segera turun padang dan tidak membiarkan projek-projek tersebut terus terbiar begitu sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika meninjau Projek Mini Estet Sejahtera (MESEJ) Rakyat di Kg. Sungai Laba dan projek pembinaan lapan buah rumah di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Kg. Sg. Tongkang dan Kg. Sg. Tamang, di sini.
Pelaksanaan Projek MESEJ Kg. Sungai Laba - satu projek yang melibatkan aktiviti penanaman kelapa sawit dan pembinaan 49 buah rumah - difahamkan tidak berjalan lancar, begitu juga dengan projek pembinaan lapan buah rumah PPRT tersebut.
“Mengenai rumah PPRT, saya harap Jabatan Pembangunan Persekutuan Sabah (JPPS) dapat mengambil-alih projek ini dan melakukan sesuatu agar pembinaan rumah-rumah terbabit dapat diteruskan semula,” katanya.
Dalam hal berlainan, Muis juga menyatakan yang beliau berhasrat untuk mewujudkan sebuah pekan kecil di pulau itu dan mencadangkan agar pulau itu turut dipilih sebagai lokasi penempatan Kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN).
Berhubung kedua-dua perkara berkenaan, beliau katanya akan mengusulkan cadangan terbabit kepada pihak atasannya dan kepada pihak-pihak yang berkaitan dalam tempoh terdekat ini.
“Kita percaya apabila di pulau ini terdapat pekan kecil, ia bukan akan memberi kemudahan kepada penduduk malah dapat menjana pembangunan ekonomi dan menarik kehadiran ramai peniaga seperti dari bandar Tawau.”
“Begitu juga dengan Kem PLKN. Apabila kem itu dapat dibina di sini, sudah tentu ia akan membawa banyak perubahan kepada wajah pulau ini,” kata beliau.
Dalam hal berkaitan, beliau menasihatkan para penduduk di pulau itu supaya tidak menjual tanah yang dimiliki mereka di pulau itu, sebaliknya memanfaatkannya termasuk melalui aktiviti pertanian.
Pihaknya katanya akan berusaha segra untuk membantu membekalkan benih sawit kepada mereka, seperti yang dijanjikan pada musim pilihan raya lalu.
Dalam hal berlainan, beliau menyarankan agar kontraktor pembinaan jalan raya di pulau itu dapat membina parit di bahagian tepi jalan raya, bagi mengelakkan air hujan mengalir ke rumah penduduk yang terletak di tepi jalan, apabila waktu hujan.
“Kita juga harap pihak kontraktor dapat membantu menurap jalan-jalan masuk ke rumah-rumah penduduk,” katanya.
Turut hadir bersama di dalam tinjauan itu ialah Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) Sebatik, Zakaria Sulaiman.
No comments:
Post a Comment