TAWAU 21 Apr - Keputusan Kerajaan memperuntukkan RM4 billion bagi menjayakan usaha pengeluaran makanan serta mengatasi inflasi, disifatkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Sebatik Haji Abd. Muis Picho sebagai tindakan yang tepat pada masanya.
Ini kerana katanya, keputusan kerajaan itu akan memberi manfaat kepada seluruh masyarakat tanpa mengira latar-belakang, sekaligus mengurangkan kebergantungan negara kepada sumber bekalan makanan dari luar negara.
Sebagai contoh katanya, cadangan membuka sebuah jelapang padi baru di Sarawak seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, pastinya akan memberi kesan positif yang besar kepada pengeluaran padi negara.
“Usaha ini secara tidak langsung juga saya lihat merupakan bukti yang kerajaan sememangnya prihatin terhadap keperluan semasa rakyat dan keadaan ekonomi mereka, khasnya yang terdiri dari golongan berpendapatan rendah” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan pucuk pimpinan negara itu, seperti yang disiarkan New Sabah Times Ahad lepas.
Dalam pada itu, Muis ketika ditemui turut menyeru rakyat supaya terus memberikan sokongan padu kepada kerajaan yang sedia ada agar segala perancangan yang dibuat, dapat dilaksanakan dengan penuh sempurna.
Apa juga perancangan yang dibuat katanya, tentunya tidak akan berjaya tanpa adanya gandingan mantap di antara kerajaan dan rakyat.
Dalam hal berkaitan, beliau juga meminta masyarakat khasnya yang berada di kawasan Dun Sebatik, supaya sentiasa berusaha memajukan diri mereka dari semasa ke semasa.
Sebagai wakil rakyat kawasan itu jelasnya, beliau terbuka untuk menerima sebarang cadangan, pendapat atau komen dari mana-mana pihak, asalkan ianya berbentuk positif serta mampu memberi kebaikan kepada masyarakat secara keseluruhannya.
Timeline of missing plane raises questions
11 years ago
No comments:
Post a Comment