Friday, April 4, 2008

WUJUDKAN POS KESELAMATAN DI SEBATIK



TAWAU 4 Apr - Ahli Dewan Undangan Negeri Sebatik, Haji Abd. Muis Haji Picho di sini meminta pihak berkuasa berkaitan agar dapat mewujudkan segera pos-pos kawalan di beberapa kampung di Pulau Sebatik, demi menjamin keselamatan para penduduk terlibat.

Katanya, perkara itu amatlah penting memandangkan beberapa kampung di pulau itu terletak berdekatan dengan persempadanan Indonesia, seperti Kg. Pisak-Pisak yang hanya sejauh kira-kira 30 minit berjalan kaki dari sempadan negara jiran terbabit.

“Kita harap perkara ini dapat diberikan perhatian sewajarnya.. Kita tidak mahu insiden rompakan bersenjata yang menimpa penduduk Kg. Pisak-Pisak pada 29 Januari lalu akan berulang lagi. Perkara yang lalu pun sudah cukup membimbangkan penduduk,” katanya.

Untuk rekod, Kg. Pisak-Pisak didiami kira-kira 200 penduduk dan pada insiden 29 Januari 2008 itu, rumah Pengerusi JKKK-nya, Kamlun Haji Kamin, dirompak enam lelaki yang bersenjatakan pistol dan samurai, dipercayai rakyat dari negara jiran.

Di dalam tragedi kira-kira jam 7.30 pagi itu, Kamlun dan anak lelakinya yang berusia 17 tahun turut dipukul oleh perompak-perompak terbabit, sebelum beberapa barangan milik mereka dilarikan.

Menurut Muis, walaupun ketika ini sudah terdapat beberapa pusat keselamatan diwujudkan di pulau itu seperti di Kg. Bergosong, namun ia masih perlu ditambah khasnya untuk kawasan-kawasan yang terletak jauh dari pusat-pusat terbabit.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa mengadakan lawatan kerja ke Kg. Pisak-Pisak dan Kg. Sungai Pukul, Pulau Sebatik, kelmarin.

Dalam perkembangan berlainan, Muis berjanji yang beliau akan bertindak segera bagi membantu menyelesaikan masalah ketiadaan jalan raya di Kg. Pisak-Pisak dan masalah keadaaan jambatan daif yang telah berusia lebih 20 tahun di Kg. Sungai Pukul.

Mengenai masalah jalan raya di Kg. Pisak-Pisak, para penduduk termasuk kira-kira 50 murid sekolah di kampung itu, kini terpaksa menjadikan jalan denai sebagai laluan untuk mereka ke kampung berhampiran atau ke sekolah yang terletak sejauh 1.5 kilometer.

“Kita dapati kedua-dua kampung ini memang ketinggalan dari arus pembangunan negara. Oleh itu, saya akan berusaha segera membantu mereka termasuklah dengan menggunakan peruntukan yang diberikan kerajaan kepada saya,” katanya.

Berhubung permintaan para penduduk Kg. Sungai Limau yang merayu agar mereka ditempatkan secara berkelompok di atas sebidang tanah rezab kerajaan di kampung itu pula, perkara itu ujarnya akan dirujuk kepada Jabatan Tanah dan Ukur.

No comments: