Friday, April 11, 2008

TIMBA ILMU DAN KEMAHIRAN DIRI - MUIS


Muis menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta sambil disaksikan oleh Sharfah Mariam.


TAWAU 11 Apr - Kaum wanita harus bijak merebut pelbagai peluang menimba ilmu atau kemahiran yang disediakan kerajaan agar pengetahuan yang dimiliki, dapat dimanfaatkan untuk memajukan diri serta menjadi sumber mempertingkatkan ekonomi keluarga.

Membuat seruan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri N.60 Sebatik Haji Abd. Muis Haji Picho berkata, ketika ini terdapat pelbagai bentuk kursus jangka panjang atau jangka pendek disediakan kerajaan, termasuklah untuk mereka yang kurang berkemampuan.

“Kemahiran harus ada pada diri setiap individu. Jika kita ada kemahiran, kita boleh menambah pendapatan diri sekaligus membebaskan diri kita dari belenggu kemiskinan,” katanya.



Mendengar penjelasan penghasilan kraf tekstil dari tenaga pengajar kursus.


Beliau berkata demikian ketika ditemubual selepas merasmikan Majlis Penyampaian Sijil Kursus Kraf Tekstil dan Ketrampilan Imej, anjuran bersama Pusat Giat Mara dan Astral Training and Development Sdn. Bhd, di Dewan Asnur di sini.

Kursus yang disertai 30 peserta itu, telah berlangsung selama lima hari bermula 7 April 2008, di salah sebuah hotel terkemuka di bandar ini.

Dalam pada itu, Muis menasihatkan semua peserta kursus berkenaan yang terdiri dari Ketua Isi Rumah Termiskin (KIRT) supaya tidak mempersia-siakan pengetahuan dan kemahiran yang telah diperolehi mereka.

Jika tidak katanya, penganjuran kursus itu tentunya tidak akan bermakna dan tidak akan dapat mencapai sasaran dan objektifnya.

Dalam hal berkaitan, beliau turut memuji kraf tekstil yang dihasil para peserta kursus, sambil melahirkan keyakinannya yang kraf-kraf tekstil terbabit, boleh memenuhi kehendak pasaran.

Sementara itu, Pengurus Kanan Pusat Giat Mara Tawau Asmuran Asnawi ketika ditemui menyatakan yang kursus berkenaan adalah untuk golongan KIRT yang telah dikenalpasti di setiap kawasan Dun, bertujuan memberi mereka kemahiran diri.

Setelah diberikan kursus jelasnya, para peserta akan diberikan pula instrumen untuk memulakan perniagaan dan perkembangan mereka akan dipantau dari semasa ke semasa.

“Kita harap lebih ramai KIRT dapat dikeluarkan dari senarai kemiskinan tegar, dengan adanya usaha kerajaan seumpama ini,” katanya sambil memberitahu yang setiap peserta kursus terbabit diberikan sebuah mesin jahit elektronik dan peralatan menjahit.

Bagi seorang peserta kursus, Irmahwati Durahman, 30, beliau bersyukur kerana berpeluang mengikuti kursus tersebut.

“Banyak kemahiran yang dulu saya tidak tahu, sekarang saya sudah tahu hasil mengikuti kursus ini. Kursus ini memberi manfaat besar kepada saya dan rakan-rakan,” katanya yang dinobatkan sebagai Peserta Terbaik dari setiap kumpulan, di akhir kursus itu.

Tinjauan di ruangan pameran mendapati terdapat pelbagai jenis kraf tekstil yang dihasilkan para peserta, dipamerkan di ruang tersebut.

Pada majlis penutupan itu, para tetamu turut dihiburkan dengan persembahan tarian dan ratu fesyen dari para peserta.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pengarah Urusan Astral Training and Development Sdn. Bhd, Sharifah Mariam Mustamin.

No comments: